KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia melaksanakan pengedaran bekalan makanan secara fizikal sekiranya berlaku serangan siber yang menyebabkan sistem komunikasi dan internet negara lumpuh.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu antara persediaan kerajaan bagi memastikan bekalan makanan kepada rakyat tidak terputus sekiranya berlaku ancaman peperangan siber.
Menurutnya, peperangan pada masa hadapan bukan sahaja melibatkan penggunaan senjata moden, malah serangan siber yang berupaya melumpuhkan sistem penting termasuk urusan tempahan dan pengedaran makanan.
“Cuba kita bayangkan dalam masa seminggu tidak ada internet, tidak ada televisyen. Apa nak jadi? Bagaimana orang nak memesan beras, ikan dan barang-barang makanan?
“Peperangan siber ini adalah realiti. Sebab itu persediaan minda kita perlu ada untuk menghadapi peperangan siber pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuan Malaysia Madani Siri 14 di sini malam tadi yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohamad berkata, Malaysia bagaimanapun mempunyai bekalan beras yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya enam bulan, manakala bekalan ikan pula mampu menampung keperluan selama lapan bulan.
Katanya, kerajaan turut mengambil kira kemungkinan serangan siber mengganggu sistem pengedaran makanan sehingga memerlukan kaedah alternatif bagi memastikan bekalan sampai kepada pengguna.
“Kalau siber diserang, hubungan terputus dan sebagainya, kita bersedia melalui FAMA menghantar barang-barang makanan secara fizikal.
“Kalau perkara itu tidak berlaku, alhamdulillah. Tetapi persediaan mesti ada,” katanya.
Beliau berkata, ancaman peperangan siber perlu diberi perhatian serius memandangkan keupayaan melancarkan serangan sedemikian kini bukan lagi terhad kepada kuasa besar dunia.
Mengambil contoh situasi di Eropah, beliau berkata gangguan terhadap sistem bekalan elektrik boleh menyebabkan kerosakan hasil pertanian dan pembaziran makanan, sekali gus menjejaskan keterjaminan makanan.
Menurutnya, keselamatan makanan kini menjadi agenda global kerana kekuatan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada keupayaan ketenteraan, sebaliknya turut ditentukan oleh kemampuan menyediakan bekalan makanan mencukupi kepada rakyat.
“Kita boleh hadapi nuklear, kita boleh hadapi senjata moden, tetapi kalau tidak ada makanan, bayangkanlah sebuah negara itu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap ancaman peperangan siber tidak berlaku di Malaysia, namun menegaskan persediaan awal perlu dilakukan bagi memastikan bekalan makanan negara terus terjamin.










