PUTRAJAYA: Penganjuran acara kecergasan HYROX Kuala Lumpur 2026 diberikan kelulusan bersyarat selepas pihak penganjur bersetuju mematuhi sepenuhnya Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, kelulusan itu diberikan di bawah Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan berkenaan dibuat susulan persetujuan penganjur untuk mematuhi sepenuhnya Kod Sukan Selamat seperti dinyatakan dalam kenyataan media kementerian bertarikh 5 November lalu.
“Sehubungan itu, kelulusan bersyarat telah diberikan bagi penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026 di bawah Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), tertakluk kepada pematuhan penuh Kod Sukan Selamat serta semua syarat lain yang ditetapkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan,” menurut kenyataan itu.
Menurut beliau, KBS akan memantau pematuhan semua syarat berkenaan sepanjang penganjuran acara tersebut bagi memastikan segala ketetapan dipatuhi.
Dalam pada itu, KBS mengucapkan selamat bertanding kepada semua peserta yang mengambil bahagian dalam acara berkenaan.
“KBS berpandangan acara kecergasan massa seperti ini wajar diteruskan bagi menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.










