Fahmi Persoal Layanan Berbeza PKR Terhadap ADUN Terpalit Dakwaan Pukul Isteri

GEORGE TOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol mempersoalkan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung dakwaan keganasan rumah tangga membabitkan seorang lagi wakil rakyat parti itu di Pulau Pinang.

Beliau turut mempersoalkan pendirian Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berhubung tindakan parti terhadap ADUN berkenaan berbanding tindakan yang dikenakan terhadap dirinya sebelum ini.

Menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat, Fahmi menyifatkan layanan diberikan terhadap dirinya berbeza, susulan penggantungan semua jawatan parti dan penggugurannya daripada barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas berdepan pertuduhan di mahkamah.

“Apa nasib kes baru-baru ini yang melibatkan ADUN KEADILAN ya?

“Sebagai anggota parti saya rasa layanan diberikan berbeza, semua jawatan dibuang, dipecat terus, sekarang apa kata Setiausaha Keadilan YB Fuziah Salleh?” katanya.

Dalam hantaran sama, Fahmi turut menyuarakan kekecewaan terhadap apa yang disifatkannya sebagai ketidakselarasan prinsip keadilan dalam parti berkenaan.

“Keadilan tidak menjadi keadilan. Sejak sekian lama hidup dalam kesetiaan, bersuara bukan bererti derhaka!” katanya.

Terdahulu, Fahmi digantung daripada semua jawatan parti oleh Majlis Pimpinan Pusat PKR berkuat kuasa serta-merta pada 1 Mac lalu selepas beliau didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya.

Beliau turut digugurkan daripada jawatan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 4 Mac lalu susulan permintaan rasmi PKR kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Dalam perkembangan berasingan, polis Pulau Pinang pada 2 November lalu mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan seorang ADUN di negeri itu mencederakan isterinya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng dilaporkan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, manakala keterangan empat individu termasuk pasangan terbabit telah dirakam bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, identiti ADUN berkenaan belum didedahkan secara rasmi.

BBerkaitan

Latest articles