PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya.
Beliau berkata, pendirian itu kekal dan tidak berubah meskipun Najib masih belum dibenarkan pulang ke rumah selepas meninggalkan Penjara Kajang pada Jumaat.
Menurutnya, beliau telah menerima pengesahan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Najib dibawa ke klinik pergigian untuk menjalani pemeriksaan gigi dan bukannya dihantar pulang ke kediamannya.
“Pendirian saya tidak berubah. Pendirian saya jelas dan saya telah pun memaklumkan kepada Ketua Setiausaha (KSU) dan pegawai-pegawai kementerian bahawa sejurus selepas Najib sampai ke rumahnya, peletakan jawatan saya berkuat kuasa serta-merta.
“Kalau malam ini jejak rumah, malam inilah berkuat kuasa. Kalau esok, esoklah,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan di sini pada Jumaat.
Anthony berkata, beliau akan mengemukakan satu surat tambahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memaklumkan perkara berkenaan, memandangkan surat peletakan jawatannya telah dihantar sebelum ini.
Beliau turut menjelaskan keputusan itu dibuat selaras dengan pendirian parti yang akan dipatuhinya.
“Pendirian ini memang saya konsisten seperti yang telah pun kita tetapkan. Itu pendirian parti dan saya akan patuh kepada keputusan yang telah diputuskan oleh parti saya,” katanya.
Dalam pada itu, Anthony berkata, beliau telah menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri pada pagi Jumaat sebelum mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Pengangkutan bagi menyelesaikan urusan pentadbiran dan memastikan kelancaran penyerahan tugas.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Anwar atas kepercayaan dan mandat yang diberikan sepanjang tempoh 47 bulan menerajui kementerian berkenaan sejak Disember 2022.
Mengulas kesinambungan perancangan kementerian, Anthony berkata, semua inisiatif yang telah dirangka akan diteruskan seperti biasa meskipun beliau tidak lagi memegang jawatan itu.
Antara projek dan inisiatif yang disebut termasuk pelaksanaan MyCommuter 50 menjelang Disember ini, operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada 12 Disember serta AKS yang dijadual menyusul pada Februari.
“Saya yakin dengan keupayaan pegawai-pegawai kita untuk meneruskan perancangan dan kesinambungan apa yang telah dirancangkan.
“Walaupun saya tidak jadi Menteri Pengangkutan, saya tetap Ahli Parlimen. Jadi, saya akan tetap memberikan sokongan kepada pegawai kementerian dan apa sahaja yang boleh saya bantu, saya akan tetap melakukannya,” katanya.










