MyCEB Akan Terus Promosi Langkawi Sebagai Destinasi MICE Antarabangsa – Tiong

KUALA LUMPUR: Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) akan terus mempromosikan Langkawi sebagai destinasi penganjuran persidangan dan pameran bertaraf antarabangsa, termasuk acara berteraskan ekopelancongan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, promosi itu turut merangkumi kemudahan pusat konvensyen di seluruh negara bagi menarik penganjur acara antarabangsa memilih Malaysia sebagai lokasi penganjuran.

Menurutnya, MyCEB sentiasa membawa tawaran kemudahan yang tersedia di Malaysia ke pasaran antarabangsa, namun keputusan akhir mengenai lokasi penganjuran bergantung kepada pilihan pihak penganjur.

“Kita akan buat yang terbaik untuk mempromosikan Langkawi. Apabila MyCEB pergi membuat promosi, kita turut mengetengahkan semua pusat konvensyen yang ada di seluruh negara kepada pasaran antarabangsa.

“Bagaimanapun, akhirnya mereka yang akan memilih lokasi mana yang mahu dijadikan tempat penganjuran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (BERSATU-Langkawi) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Mohd Suhaimi meminta penjelasan mengenai pelan tindakan MyCEB memasarkan kemudahan Langkawi International Convention Centre (LICC) dan Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) bagi menarik persidangan antarabangsa, khususnya bertemakan ekopelancongan.

Dalam pada itu, Tiong berkata, kerajaan turut berusaha meningkatkan kemasukan pelancong ke Langkawi menerusi penerbangan sewa khas atau charter flight dari pasaran luar negara.

Katanya, penerbangan sewa khas dari Bursa, Turkiye sudah memasuki Langkawi dan usaha mempromosikan laluan berkenaan akan diteruskan bagi merancakkan ekonomi pelancongan di pulau itu.

BBerkaitan

Latest articles