MELAKA: Rakyat Melaka diminta menilai PAS berdasarkan kenyataan dan tindak-tanduk kepimpinannya, bukannya terus menerima penggunaan sentimen agama dalam pertikaian politik sehingga boleh mencetuskan perpecahan masyarakat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, tindakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyamakan Perjanjian Persefahaman Bekalan dan Keyakinan (CSA) dengan pendekatan ‘dajal’ adalah keterlaluan dan berisiko menggugat keharmonian masyarakat.
Beliau berkata, penggunaan label agama melampau dalam politik boleh menyebabkan rakyat bermusuhan sesama sendiri, sedangkan pemimpin yang mencetuskan pertelingkahan akhirnya boleh kembali bersalaman demi membentuk kerjasama politik baharu.
“Jangan sampai rakyat bermusuh sesama jiran dan keluarga, sedangkan pemimpin yang mencetuskan pertelingkahan sudah bersalaman mencari gabungan baharu,” katanya dalam kenyataan.
Adly yang juga Naib Presiden Amanah mengulas kenyataan Hadi pada Selasa lalu yang mendakwa CSA antara kerajaan dengan tujuh Ahli Parlimen pembangkang sebagai pendekatan dajal pada akhir zaman.
Menurut Hadi, perjanjian itu menjadikan kuasa bukan lagi amanah rakyat, sebaliknya alat untuk memaksa sokongan demi mengekalkan kedudukan.
Mengulas lanjut, Adly menegaskan perjanjian politik perlu dinilai berdasarkan kandungan dan bukti, bukannya tuduhan berunsur agama yang boleh menakutkan masyarakat.
Beliau turut menggesa PAS mengemukakan fasal khusus dalam CSA sekiranya mendakwa perjanjian itu menafikan hak rakyat terhadap hasil negara dan kebajikan.
Adly turut mengingatkan PAS supaya mengambil iktibar daripada Amanat Haji Hadi yang disampaikan di Banggol Peradong pada 7 April 1981, yang menurutnya pernah dikaitkan dengan perpecahan dalam masyarakat Islam.
Beliau merujuk rekod penerbitan Jabatan Mufti Melaka yang menyentuh kesan perpecahan termasuk pertelingkahan keluarga, pemulauan kenduri dan pertikaian berkaitan sembelihan.
Malah, fatwa mengenai amanat itu diwartakan di Melaka pada 25 Julai 2002, manakala fatwa Larangan Kafir-mengkafir Sesama Umat Islam turut diwartakan pada 26 September 2013.
Adly mempersoalkan sama ada PAS mahu terus mempertahankan politik melabel dan menggesa parti itu serta sekutunya menyatakan pendirian berhubung isu berkenaan.
Beliau menegaskan PH Melaka menolak penggunaan sentimen agama sebagai senjata politik sehingga mengancam perpaduan rakyat.










