SEREMBAN: Kegagalan memastikan keselamatan seorang bayi ketika berada di bawah jagaan pusat asuhan membawa padah apabila Mahkamah Tinggi Seremban hari ini memerintahkan seorang pengasuh dan pengusaha taska membayar ganti rugi RM65,000 kepada keluarga Baby Syifaa yang meninggal dunia ketika dalam jagaan mereka.
Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan pengasuh, Khairunnisa Ahmad Damanhuri, dan kakaknya, Nadzirah, yang mengendalikan Taska My Mom Child Care Centre di Bandar Seri Sendayan, bertanggungjawab atas kecuaian yang menyumbang kepada kematian kanak-kanak berkenaan.
Mahkamah membenarkan tuntutan saman yang difailkan ibu mangsa, Anida Idrus, pada 2025 selepas mendapati beliau berjaya membuktikan dakwaan kecuaian terhadap kedua-dua defendan berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Baby Syifaa atau nama sebenarnya Nour Rania Asyifaa Yuseri, meninggal dunia pada 22 Februari 2022 ketika berusia setahun selepas diletakkan di dalam buaian kain di pusat jagaan berkenaan.
Dalam tuntutannya, Anida mendakwa kedua-dua defendan cuai kerana membiarkan anaknya berada di dalam buaian tanpa pengawasan sewajarnya.
Mahkamah ketika perbicaraan dimaklumkan bahawa Khairunnisa meninggalkan bayi itu tanpa pengawasan untuk menunaikan solat dan makan tengah hari.
Mengulas kecuaian Khairunnisa, Roz Mawar berkata, pengasuh berkenaan gagal memenuhi tahap penjagaan munasabah yang sepatutnya diberikan oleh seseorang yang diamanahkan menjaga keselamatan bayi.
Beliau berkata, pengasuh sepatutnya memastikan ada individu lain mengambil alih tanggungjawab menjaga bayi itu sepanjang ketiadaannya atau melakukan pemeriksaan visual secara berkala.
“Seorang penjaga yang munasabah sekurang-kurangnya akan mengatur supaya penjaga lain mengambil alih tanggungjawab buat sementara waktu atau membuat pemeriksaan visual dengan cukup kerap.
“Kedua-dua langkah berjaga-jaga itu tidak diambil. Usaha untuk melaksanakan salah satu langkah itu tidaklah membebankan, sedangkan kemungkinan bayi terperangkap dalam buaian kain boleh membawa akibat yang serius,” katanya.
Bagi Nadzirah pula, mahkamah mendapati beliau gagal memeriksa keadaan Nour Rania sepanjang Khairunnisa tiada, selain tidak mengarahkan mana-mana individu lain berbuat demikian.
Roz Mawar menegaskan, pengurusan pusat jagaan kanak-kanak perlu mempunyai sistem yang membolehkan tanggungjawab pengawasan bayi diteruskan walaupun pengasuh perlu memenuhi keperluan peribadi seperti solat atau makan.
Menurutnya, ketiadaan individu yang boleh mengambil alih tugas sementara bukan alasan yang boleh diterima, sebaliknya mencerminkan kelemahan sistem pengurusan pusat jagaan itu.
“Ketiadaan sesiapa yang boleh mengambil alih tugas buat sementara waktu menunjukkan kelemahan sistem pengurusan, bukannya keadaan yang tidak dapat dielakkan,” katanya.
Dalam prosiding berasingan awal tahun ini, Khairunnisa turut dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM15,000 atas kesalahan cuai berhubung kematian Nour Rania.










