Isu JALB: Menteri KKDW Diminta Tarik Balik Kenyataan Jika Tersilap Fakta

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta menarik balik kenyataannya berhubung peruntukan projek Jalan Luar Bandar (JALB) sekiranya didapati mengandungi kesilapan fakta.

Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berkata, penjelasan menteri ketika sesi penggulungan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada Khamis lalu bercanggah dengan maklumat yang menunjukkan beberapa projek lain terpaksa dikorbankan bagi menampung perbelanjaan JALB.

Menurutnya, isu berkenaan timbul apabila menteri menegaskan tiada projek lain dikorbankan walaupun peruntukan asal JALB yang diluluskan Parlimen tidak mencukupi sehingga memerlukan pemindahan peruntukan dalaman melalui notis perubahan (NOC).

“Perkara yang kita pertikaikan bukan sama ada perbelanjaan itu melebihi peruntukan selepas penyelarasan atau tidak, tetapi perbelanjaan sudah melebihi peruntukan asal yang diluluskan di Parlimen.

“Jadi, bagaimana mereka menampung kekurangan itu? Mereka menggunakan NOC dengan memindahkan peruntukan daripada projek lain kepada JALB,” katanya pada sidang media di Parlimen, pada Khamis.

Chong berkata, antara projek yang terjejas termasuk program Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Majlis Amanah Rakyat (Mara), bekalan elektrik dan air luar bandar serta projek membabitkan Risda, Kesedar, Perda dan Kejora.

Beliau turut memetik kenyataan Setiausaha Akhbar Menteri KKDW, Fadzmel Fadzil yang mengakui kementerian terpaksa menggunakan peruntukan dalaman sedia ada untuk membayar tunggakan projek JALB sehingga menyebabkan pelaksanaan program dan projek lain terpaksa dikorbankan.

“Jelas ada projek yang dikorbankan untuk menaikkan peruntukan JALB. Antaranya peruntukan RM200 juta bagi pembinaan dan baik pulih rumah golongan miskin termasuk masyarakat Orang Asli, selain bantuan kepada usahawan kecil B40, nelayan dan petani,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mempersoalkan alasan kementerian bahawa perbelanjaan berkenaan digunakan untuk membayar tunggakan projek sejak pandemik Covid-19 serta membiayai projek baharu yang diluluskan Kementerian Ekonomi.

Katanya, menteri perlu menyenaraikan jumlah sebenar projek tertunggak dan membezakan antara projek lama dengan projek baharu yang diluluskan sejak 2023.

“Takkan dari 2023 hingga 2026, sudah empat tahun, tunggakan sejak Covid-19 masih belum dapat diselesaikan?

“Saya mahu Menteri KKDW senaraikan berapa projek yang merupakan tunggakan dan berapa pula projek baharu yang diluluskan,” katanya.

Chong berkata, kelulusan projek oleh Kementerian Ekonomi tidak bermakna keseluruhan kos projek boleh dibelanjakan dalam satu tahun tanpa mengambil kira peruntukan tahunan yang diluluskan.

Sebaliknya, katanya, Menteri KKDW bertanggungjawab menyediakan unjuran pelaksanaan projek dan perancangan aliran tunai supaya perbelanjaan dapat diselaraskan dengan peruntukan tersedia.

“Kalau peruntukan JALB RM2 bilion tetapi keseluruhan projek bernilai RM5 bilion, bukan bermaksud kementerian boleh membelanjakan RM5 bilion dalam tahun sama.

“Ini tanggungjawab Menteri KKDW, bukan salah Kementerian Kewangan kerana peruntukan JALB sudah diberikan, malah tambahan lebih RM500 juta disediakan tahun ini,” katanya.

Sehubungan itu, Chong berkata, beliau sudah mengemukakan usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung dakwaan menteri mengelirukan Dewan selepas membangkitkan perkara itu pada Isnin lalu.

Beliau berharap menteri memberikan penjelasan terperinci ketika perbahasan peringkat jawatankuasa KKDW dan menarik balik kenyataan sekiranya terdapat kesilapan fakta.

“Kita tidak boleh ada dua kenyataan berbeza, satu daripada penggulungan kementerian dan satu lagi daripada Menteri KKDW yang juga Timbalan Perdana Menteri.

“Saya rasa seluruh Malaysia keliru dengan perkara ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles