47 NGO Gesa Kerajaan, PN Meterai Perjanjian Rentas Parti Laksana Lapan Reformasi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 47 organisasi masyarakat sivil (CSO) menggesa Kerajaan MADANI dan Perikatan Nasional (PN) memeterai perjanjian rentas parti membabitkan kesemua 218 Ahli Parlimen bagi melaksanakan lapan reformasi utama dalam baki tempoh Parlimen ke-15.

Gabungan itu berkata, perjanjian berkenaan penting bagi memastikan reformasi institusi tidak tergendala akibat ketidaktentuan politik, selain mengukuhkan demokrasi berparlimen menjelang dan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut kenyataan bersama itu, tanpa komitmen rentas parti, reformasi penting berkenaan berisiko terdedah kepada pengaruh pihak yang tidak mempunyai mandat pilihan raya dan tidak mahu perubahan yang boleh memperkasakan pengundi.

“Perjanjian ini bertujuan merintis jalan ke arah pengukuhan demokrasi berparlimen sebelum dan selepas PRU16, dan memulihkan keyakinan awam dan antarabangsa terhadap kestabilan politik serta akauntabiliti di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Antara enam organisasi peneraju inisiatif berkenaan ialah Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Rasuah Busters.

Lapan reformasi yang dicadangkan ialah mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun; memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya; menggubal Akta Kebebasan Maklumat serta Akta Ombudsman.

Cadangan lain termasuk menggubal Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang adil, Akta Pendanaan Politik berserta dana awam kepada parti politik, menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukannya Perdana Menteri serta menetapkan notis tiga bulan bagi pembubaran Parlimen sekiranya tiada persetujuan untuk Parlimen ke-15 berkhidmat sehingga 18 Disember 2027.

Gabungan itu berkata, empat reformasi pertama merupakan antara janji awal Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memulakan penggal pentadbirannya.

Dua daripadanya, iaitu had tempoh jawatan Perdana Menteri dan pemisahan peranan Peguam Negara serta Pendakwa Raya, memerlukan sokongan majoriti dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 undi di Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, had tempoh jawatan Perdana Menteri penting bagi membolehkan pembaharuan kepimpinan serta mencegah penyalahgunaan kuasa dan politik dinasti.

“Pemisahan peranan AG-PP pula amat penting bagi mengelakkan pendakwaan terpilih, kekebalan terpilih, dan kewujudan amalan masyarakat dua darjat,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Ombudsman disifatkan mampu memperkasa rakyat, meningkatkan ketelusan serta akauntabiliti dan mendorong penjawat awam memberikan perkhidmatan lebih baik.

Bagi empat reformasi seterusnya, gabungan itu menegaskan keperluan mewujudkan medan persaingan politik yang adil, termasuk memastikan peruntukan pembangunan kawasan disalurkan secara saksama kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti.

“Peruntukan CDF tidak sepatutnya dimonopoli oleh Kerajaan atau dijadikan syarat untuk menyokong Kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut berpandangan Akta Pendanaan Politik diperlukan bagi mencegah penyelewengan dana awam dan penguasaan oleh penderma luar negara, manakala pembiayaan awam kepada parti politik berdasarkan bahagian undi serta kriteria objektif lain boleh mengurangkan kebergantungan kepada penderma swasta.

Dalam pada itu, gabungan berkenaan mahu SPR diwujudkan sebagai badan bebas dan berkecuali yang bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen, selain diberikan kuasa lebih luas termasuk dalam urusan pendaftaran parti politik.

Mengenai pembubaran Parlimen, mereka berkata rakyat berhak mengetahui jadual pilihan raya lebih awal dan tidak sepatutnya terus berdepan ketidaktentuan tarikh pilihan raya.

“Sudah masanya amalan lapuk Perdana Menteri menyerang hendap Pembangkang dengan pilihan raya kilat dikuburkan,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, gabungan itu turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan dan 13 Ahli Parlimen, terdiri daripada tujuh wakil Bersatu, seorang daripada MUDA serta enam bekas ahli Bersatu, susulan pemeteraian Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) pada 29 Oktober lalu.

Bagaimanapun, mereka berpandangan CSA berkenaan masih terlalu terhad skopnya dan bersifat transaksional kerana pemberian CDF secara adil kekal menjadi bahan rundingan, bukannya dijamin melalui peruntukan undang-undang.

“Kami menyokong gesaan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, agar PN memeterai satu lagi CSA dengan Kerajaan MADANI.

“Namun, kami berpandangan bahawa skop perjanjian tersebut mestilah lebih luas, dengan merangkumi kepentingan sah Pembangkang melebihi sekadar akses bersyarat kepada CDF yang saksama,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, gabungan berkenaan menggesa Anwar mengadakan perbincangan secara langsung dengan kepimpinan tertinggi PN bagi mencapai persetujuan berhubung lapan reformasi berkenaan.

Mereka turut menyifatkan langkah itu sebagai peluang kepada Perdana Menteri untuk menyatukan semua parti politik dalam usaha melaksanakan perubahan institusi berimpak tinggi, selain memberi ruang kepada PN membuktikan komitmen terhadap agenda demokrasi negara selepas PRU16.

Kenyataan itu turut merujuk kejayaan Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September 2021 sebagai contoh kerjasama antara kerajaan dan pembangkang yang mampu mewujudkan kestabilan serta membawa reformasi.

BBerkaitan

Latest articles