PUTRAJAYA: Cubaan enam pembesar Negeri Sembilan untuk menangguhkan prosiding komital terhadap mereka berhubung dakwaan melanggar perintah injunksi berakhir dengan kegagalan apabila Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu hari ini.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Alwi Abdul Wahab bersama Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh sebulat suara menolak permohonan berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan keenam-enam perayu membayar kos RM60,000 kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) serta Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin.
Permohonan itu dikemukakan oleh bekas Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak, bersama Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; dan Shahbandar Sungai Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Mereka memohon penangguhan sementara menunggu keputusan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang membenarkan DKU dan Raja Norazli memulakan prosiding komital atas dakwaan melanggar perintah injunksi.
Amarjeet Singh berkata, prosiding komital perlu diteruskan segera kerana ia membabitkan kuasa mahkamah untuk mencegah campur tangan tidak wajar dalam pentadbiran serta mempertahankan kewibawaan institusi kehakiman.
Katanya, isu kekebalan yang dibangkitkan enam perayu perlu diputuskan selepas pendengaran substantif prosiding komital, bukannya sebelum ia bermula.
Mahkamah turut mendapati tindakan perayu tidak jujur apabila memohon remedi ekuiti, sedangkan mereka pada masa sama memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu sama.
Malah, mereka juga didapati gagal memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi mengenai kewujudan perintah injunksi serta kebenaran yang telah diberikan untuk memulakan prosiding komital.
Pertikaian itu bermula pada 5 Mei lalu apabila Mubarak dan lima individu berkenaan memfailkan saman pemula bagi mendapatkan minit mesyuarat khas DKU pada 17 April, yang antara lain memutuskan pelucutan jawatannya sebagai Undang Luak Sungai Ujong.
Pada 5 Jun lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan injunksi ad interim bagi mengekalkan status quo, termasuk komposisi DKU dan kedudukan Raja Norazli sebagai setiausahanya, sementara menunggu keputusan berhubung isu bidang kuasa dan kebolehdiadilan pertikaian itu.
Bagaimanapun, Raja Norazli mendakwa laporan media pada hari sama menunjukkan Maarof terbabit dalam proses pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mengikut Perkara 11 Perlembagaan Negeri Sembilan 1959, meskipun injunksi berkenaan masih berkuat kuasa.
DKU dan Raja Norazli kemudian memohon kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding komital terhadap keenam-enam individu itu atas dakwaan menghina mahkamah.










