Tular Ritual Agama Lain, Aliff Daniel Dihantar Ke Pusat Pemulihan Akidah 3 Bulan

RAWANG: Tular melakukan ritual agama lain di sebuah kuil, Aliff Daniel Adli, 21, diarahkan menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pemujaan salah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, hari ini.

Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib, memerintahkan tertuduh menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Ulu Yam, berkuat kuasa serta-merta.

Aliff Daniel didakwa melakukan perbuatan menjunjung alat keagamaan lain, mencucuk anggota badan serta berlutut dengan tangan dirapatkan di hadapan patung di sebuah kuil di Batu Caves, antara jam 9 hingga 11 malam pada 24 Januari 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Dalam penghakimannya, Mohd Faizal menegaskan perbuatan tertuduh bukan sekadar melanggar undang-undang, malah menyentuh soal akidah dan tauhid sebagai seorang Muslim.

Beliau turut menasihati tertuduh supaya melakukan taubat nasuha, meskipun mengakui sudah bertaubat atas kesalahan berkenaan.

Mahkamah kemudian menerima cadangan pendakwaan untuk menggantikan hukuman penjara dan denda dengan perintah pemulihan akidah, mengambil kira usia tertuduh yang masih muda serta tanggungjawabnya menjaga ibu yang baru menjalani pembedahan.

Terdahulu, Aliff Daniel merayu supaya dikenakan denda minimum tanpa penjara, selain memohon dibenarkan mengikuti kelas bimbingan agama di masjid berhampiran rumahnya.

Bagaimanapun, pendakwaan membantah permohonan itu dengan alasan tertuduh perlu menjalani pemantauan pihak berautoriti agama di pusat pemulihan.

Susulan keputusan mahkamah, tertuduh dibawa pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke pusat berkenaan.

Mahkamah menetapkan 25 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan pemulihan akidah tertuduh.

BBerkaitan

Latest articles