Da’i Syed Bebas Daripada Tuduhan Rogol, Sabitan Dan Hukuman Penjara Diketepikan

KUALA LUMPUR: Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Shaiful atau lebih dikenali sebagai Da’i Syed, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada pertuduhan merogol seorang wanita dalam kejadian tujuh tahun lalu.

Keputusan majoriti 2-1 itu menyaksikan sabitan serta hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dikenakan Mahkamah Tinggi sebelum ini diketepikan selepas panel hakim mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Keputusan itu dibacakan Hakim Datuk Azman Abdullah yang mengetuai panel tiga hakim bersama Hakim Datuk Radzi Abdul Hamid, manakala Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menyatakan pendapat berbeza.

Azman berkata sabitan terhadap perayu tidak selamat untuk dikekalkan.

“Sabitan terhadap perayu tidak selamat. Rayuan dibenarkan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi diketepikan.”

Kes berkenaan bermula apabila Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah pada 10 Disember 2020 atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun ketika itu di sebuah bilik kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, kira-kira jam 1.35 pagi, 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam pada awalnya melepas dan membebaskannya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan Syed Shah Iqmal membela diri.

Pada 30 Ogos 2024, Mahkamah Sesyen Shah Alam mensabitkannya bersalah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan.

Beliau kemudian merayu terhadap sabitan dan hukuman itu, namun Mahkamah Tinggi pada 23 Januari 2026 mengekalkan keputusan berkenaan dan memerintahkan hukuman penjara dilaksanakan serta-merta.

Selepas menjalani hukuman selama 21 hari di Penjara Kajang, Mahkamah Rayuan pada 13 Februari 2026 membenarkan permohonannya untuk digantung pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan akhir.

Dalam hujahan rayuan pada 3 Ogos lalu, pihak pembelaan antara lain mempertikaikan penilaian mahkamah terdahulu terhadap isu persetujuan, selain mendakwa terdapat beberapa kelemahan dalam kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan bagaimanapun menegaskan hubungan seksual berkenaan berlaku tanpa persetujuan wanita terbabit.

BBerkaitan

Latest articles