Kamil Persoal Hadi Guna Istilah ‘Dajal’ Kecam CSA

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim mempersoalkan sikap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang melabelkan perjanjian kepercayaan dan pembekalan (CSA) sebagai ‘dajal’, sedangkan parti itu pernah menyokong mekanisme serupa ketika berada dalam kerajaan.

Kamil berkata, PAS yang menyertai pentadbiran pada 2021 turut terlibat dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September tahun sama.

Menurutnya, MoU berkenaan turut mengandungi elemen CSA bagi menjamin kestabilan kerajaan dan kelulusan belanjawan, namun tidak pernah dikaitkan dengan istilah ‘dajal’.

“Ketika PAS berada dalam kerajaan, persefahaman sedemikian dianggap perlu demi kestabilan negara. Tidak pula kedengaran istilah ‘dajal’ digunakan.

“Tetapi, apabila PAS berada di luar kerajaan, mekanisme politik yang serupa tiba-tiba dikaitkan dengan ‘dajal’. Apakah ini suatu kaedah baharu dalam politik PAS? Halal bagi kami, haram bagi kamu?” katanya menerusi Facebook.

Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan turut mengkritik penggunaan istilah agama untuk menghukum mekanisme politik yang pernah diterima PAS sebelum ini.

Beliau menegaskan perbezaan pandangan terhadap CSA sepatutnya dibahaskan secara berprinsip dan adil, bukannya menggunakan ukuran berbeza mengikut kedudukan politik.

Terdahulu, Hadi menyifatkan CSA antara kerajaan dan tujuh Ahli Parlimen pembangkang sebagai pendekatan ‘dajal’ yang didakwa menjadikan kuasa sebagai matlamat, bukan amanah kepada rakyat.

CSA berkenaan ditandatangani Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama lima Ahli Parlimen parti itu serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perjanjian itu membabitkan pemberian peruntukan pembangunan kawasan kepada tujuh wakil rakyat berkenaan, selain menuntut reformasi termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

BBerkaitan

Latest articles