CHANGSHA (China): Pengasas pengeluar motosikal China, ZXMOTO, Zhang Xue mencipta sejarah apabila berjaya menunggang motosikal yang diubah suai khas sejauh 40.74 kilometer (km) di atas permukaan air, sekali gus mencatatkan rekod baharu Guinness World Records.
Menurut laporan Xinhua yang diterbitkan menerusi The Star pada 25 Oktober, kejayaan itu dilakukan di Sungai Jinjiang, daerah autonomi etnik Miao Mayang, wilayah Hunan, China.
Zhang menggunakan motosikal ZXMOTO MX450 yang diubah suai khas untuk membolehkannya bergerak di atas permukaan air bagi mencatatkan rekod jarak perjalanan paling jauh oleh motosikal yang diubah suai di kawasan perairan terbuka.
Jarak 40.74km itu berjaya mengatasi rekod terdahulu sejauh 31.8km yang dicatatkan pada 2017.
Motosikal berkenaan dilengkapi sistem pelampung khas atau amphibious skis, tangki minyak yang diperbesarkan serta penambahbaikan kalis air bagi memastikan ia kekal stabil ketika bergerak di atas permukaan sungai.
Sistem ski di bahagian hadapan berfungsi sebagai kemudi, manakala tayar belakang yang sebahagiannya terendam dalam air menghasilkan tujahan untuk menggerakkan motosikal ke hadapan.
Menurut laporan itu, Zhang turut melakukan beberapa perjalanan berulang-alik merentasi sungai bagi melengkapkan cabaran berkenaan.
Kejayaan itu merupakan kemuncak usaha selama 17 tahun selepas percubaan pertamanya pada 2009 berakhir dengan kegagalan apabila motosikal yang digunakan ketika itu terjatuh ke dalam air sebanyak empat kali, dengan jarak perjalanan terbaik hanya sekitar 20 meter.
“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa saya mampu melakukannya. Walaupun gagal, saya akan terus mengejarnya tanpa teragak-agak. Saya benar-benar menikmati proses ini,” katanya.
Bagi percubaan terbaharu itu, pasukan Zhang mengambil masa lima bulan untuk melakukan ujian dan penambahbaikan terhadap motosikal berkenaan sebelum cabaran tersebut dilaksanakan.
Laporan Xinhua pada 29 Oktober turut menyebut kejayaan itu memberi impak kepada sektor pelancongan di daerah Mayang apabila kira-kira 250,000 kunjungan pelancong direkodkan sepanjang acara berkenaan.
Jumlah itu hampir menyamai keseluruhan populasi penduduk daerah berkenaan yang dianggarkan seramai 274,000 orang.
Zhang, 39, berkata beliau memilih kampung halamannya sebagai lokasi percubaan rekod dunia itu bagi merealisasikan impian lama selain memperkenalkan daerah Mayang kepada masyarakat antarabangsa.
“Semangat untuk terus berusaha datang dari tanah ini. Dengan membawa cabaran ini ke kampung halaman, saya juga mahu merealisasikan impian di sini dan membolehkan dunia mengenali Mayang,” katanya.
Laporan Xinhua itu turut menyatakan Zhang merupakan pengasas ZXMOTO, syarikat pengeluar motosikal yang ditubuhkan di Chongqing pada 2024.
Kejayaan tersebut sekali gus meletakkan nama Zhang dan ZXMOTO dalam perhatian dunia menerusi pencapaian luar biasa dalam bidang kejuruteraan serta inovasi motosikal.










