Buat Kecoh Di Pusat Beli-belah, Wanita 25 Tahun Ditahan

KUALA LUMPUR: Wanita yang tular selepas didakwa mengganggu pengunjung termasuk mengasari dua kanak-kanak di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, ditahan polis, petang tadi.

Wanita tempatan berusia 25 tahun itu ditahan di Bandar Sri Damansara, kira-kira jam 5.40 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, tangkapan dilakukan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang dilaporkan pada 1 November lalu.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati wanita terbabit mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan.

Terdahulu, kejadian itu mendapat perhatian ramai selepas video berdurasi kira-kira 35 saat memaparkan pertengkaran antara seorang lelaki dan wanita di pusat beli-belah berkenaan tular di media sosial.

Polis sebelum ini mengesahkan menerima dua laporan berhubung tiga kejadian yang didakwa membabitkan wanita sama mengganggu pengunjung dan pelanggan di premis berkenaan.

Satu daripada laporan itu dibuat oleh bapa kepada dua kanak-kanak yang mendakwa anaknya masing-masing berusia tujuh dan dua tahun dikasari wanita terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, wanita itu didakwa menolak kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari belakang sehingga terjatuh sebelum memukul bahagian belakang kepala adik perempuannya yang berusia dua tahun.

Kes berkenaan sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran.

BBerkaitan

Latest articles