BNM Digesa Telus Kriteria Depanelment 190 Doktor Pakar

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) digesa memperjelas mekanisme kawal selia syarikat insurans yang menyingkirkan doktor pakar daripada panel kemudahan tanpa tunai, termasuk keperluan memberikan alasan bertulis, bukti dan hak rayuan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera), berkata tindakan itu membimbangkan susulan pendedahan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bahawa kira-kira 190 doktor pakar swasta kehilangan kemudahan berkenaan, sekali gus berpotensi menjejaskan akses pesakit kepada rawatan.

Beliau mendakwa terdapat kes pesakit yang sedang menjalani pembedahan terpaksa dihentikan apabila doktor terbabit tidak lagi mempunyai kemudahan tanpa tunai, sehingga doktor dari hospital lain perlu dipanggil.

Berikutan itu, beliau mempersoalkan kriteria yang digunakan syarikat insurans untuk menyingkirkan doktor daripada panel, sama ada berdasarkan prestasi klinikal, isu etika, kelemahan dokumentasi atau kepentingan komersial.

“Jika atas alasan komersial, apakah jaminan bahawa doktor tidak dipilih atau diketepikan secara sewenang-wenangnya tanpa penilaian yang telus dan adil?” soalnya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat.

Ismail Sabri turut mempersoalkan sejauh mana syarikat insurans menghormati hak pesakit untuk memilih doktor, seperti yang ditekankan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), meskipun mereka membayar premium insurans secara berkala.

Beliau juga meminta BNM memantau audit retrospektif terhadap tuntutan perubatan yang telah diluluskan bagi mengelakkan penyalahgunaan, khususnya melibatkan akses kepada rekod perubatan pesakit yang sulit.

Menurutnya, terdapat hospital yang didakwa diminta membayar semula tuntutan dan memberikan diskaun bagi mengelakkan tindakan penyingkiran daripada panel, selain doktor pakar kehilangan kemudahan tanpa tunai.

Dalam pada itu, beliau berpandangan sistem kos perubatan, dokumentasi, kelulusan awal dan kadar bayaran insurans perlu diselaraskan dengan kemajuan teknologi perubatan, termasuk pembedahan robotik.

Beliau mencadangkan BNM dan Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan protokol jelas berhubung sekatan panel, surat jaminan serta kesinambungan rawatan pesakit.

Selain itu, badan profesional bersama industri insurans disaran menyemak kod diagnosis dan prosedur perubatan secara berkala bagi memastikan sistem sedia ada kekal relevan dengan perkembangan teknologi.

BBerkaitan

Latest articles