Sindiket Judi Dalam Talian Guna Kedai Kopi, Pasar Mini Sebagai Topeng Operasi

KUALA LUMPUR: Sindiket perjudian dalam talian dikesan menggunakan kedai kopi dan pasar mini sebagai topeng untuk menjalankan kegiatan tambah nilai (reload) perjudian, sekali gus menyukarkan usaha pihak berkuasa mengesan operasi mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkembangan kegiatan itu bukan disebabkan ketiadaan kawalan atau penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya berpunca daripada keupayaan sindiket menyesuaikan modus operandi mengikut perkembangan teknologi digital.

Menurutnya, terdapat operator yang tidak lagi berada secara tetap di kaunter premis, sebaliknya bercampur dengan pelanggan dan hanya mengendalikan transaksi apabila diperlukan.

“Ada juga yang beroperasi secara bergerak (mobile) menggunakan telefon pintar tanpa bergantung kepada lokasi statik, sekali gus menyukarkan pengesanan fizikal,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan usaha PDRM mengawal perjudian dalam talian serta sebab premis tambah nilai perjudian yang menyamar sebagai kedai serbaguna atau kedai kopi berkembang pesat di seluruh Sarawak tanpa pengawalan.

Saifuddin berkata, penggunaan aplikasi komunikasi, pautan dan akaun pengguna turut membolehkan kegiatan perjudian dijalankan dengan kebergantungan minimum kepada peralatan fizikal, manakala saluran digital boleh ditukar atau dipadamkan dengan pantas apabila dikesan.

Katanya, keperluan infrastruktur yang minimum juga membolehkan sindiket memindahkan lokasi, menukar identiti premis atau mengaktifkan semula operasi dalam tempoh singkat selepas tindakan serbuan dilakukan.

“Penggunaan sistem pembayaran dan perkhidmatan digital memudahkan aliran wang pertaruhan tanpa melibatkan transaksi tunai secara terbuka, manakala premis perniagaan yang beroperasi hanya bertindak sebagai titik pendaftaran, tambah nilai atau pembayaran,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan itu turut membabitkan rangkaian sindiket berlapis yang mempunyai pembahagian peranan antara pengendali, penjaga premis, pengurus akaun dan pembayar.

Menurutnya, kompleksiti pembuktian undang-undang juga menjadi cabaran kerana pendakwaan memerlukan bukti kukuh yang mengaitkan individu, premis, peranti, transaksi dan kandungan perjudian.

Mengulas tindakan penguatkuasaan, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui PDRM sentiasa menjalankan pemantauan serta operasi secara terancang dan berterusan bagi mengesan dan membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen, termasuk perjudian dalam talian.

Katanya, tindakan turut diambil terhadap individu yang terbabit, termasuk penjaga premis dan penganjur kegiatan perjudian haram mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 serta Akta Pertaruhan 1953.

“Tindakan lebih keras juga akan diambil di bawah peruntukan undang-undang lain yang berkaitan, iaitu Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.

Tambahnya, PDRM turut melaksanakan Operasi Bersepadu Berterusan (Op Dadu) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melumpuhkan lokasi operasi perjudian haram.

Selain itu, kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilaksanakan bagi menyekat serta menurunkan laman sesawang perjudian mengikut Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PDRM juga bekerjasama dengan syarikat utiliti termasuk Sarawak Energy Berhad (SEB), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Energy Corporation (SEC) bagi memotong bekalan elektrik ke premis yang sering digunakan sindiket perjudian.

BBerkaitan

Latest articles