KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan memberi layanan berbeza kepada mana-mana pegawai kanan kerajaan meskipun memiliki rekod perkhidmatan cemerlang, termasuk berdepan dakwaan jenayah yang perlu disiasat mengikut lunas undang-undang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersimpati dengan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Shuhaily Zain, yang kini berdepan dua pertuduhan menyerang anggota polis, namun prestasi dan jasa seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan proses perundangan.
Beliau menegaskan, setiap dakwaan perlu disiasat tanpa mengira kedudukan atau pangkat individu terbabit, sama ada ia dikemukakan oleh orang awam mahupun anggota polis.
“Secara peribadi, saya bersimpati dengannya. Namun, apabila terdapat dakwaan, sama ada daripada orang awam atau polis, ia mesti disiasat,” katanya ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Anwar turut menolak dakwaan bahawa pertuduhan terhadap Shuhaily mempunyai kaitan dengan kepentingan politik, sambil menegaskan beliau dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, tidak pernah campur tangan dalam proses berkenaan.
Menurutnya, kuasa menentukan sama ada seseorang individu perlu didakwa terletak pada Jabatan Peguam Negara dan bukannya keputusan politik kerajaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan sebelum ini membawa Shuhaily kembali ke Kuala Lumpur kerana prestasi perkhidmatannya yang cemerlang, malah beliau sendiri pernah memainkan peranan dalam membantu memulihkan perjalanan kerjaya pegawai berkenaan.
“Kami membawanya kembali kerana prestasinya yang cemerlang. Saya masih ingat membawa beliau dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sebelum beliau dinaikkan pangkat,” katanya.
Anwar menjawab soalan Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mempersoalkan keputusan kerajaan mengembalikan Shuhaily ke pasukan polis, sedangkan beliau sepatutnya dibenarkan meneruskan tugas mengetuai AKPS.
Shahidan turut memuji prestasi Shuhaily dan mempersoalkan tindakan terhadap pegawai berkenaan yang disifatkannya sebagai antara anggota terbaik negara.
Untuk rekod, Shuhaily, 54, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Pada 29 Oktober, Saifuddin mengumumkan bahawa Shuhaily akan dikembalikan ke pasukan polis.
Bagaimanapun, beliau kembali menjalankan tugas di AKPS semalam apabila mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kanan agensi berkenaan.
Perkembangan itu berlaku ketika Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail sebelum ini menjelaskan bahawa pelantikan Shuhaily hanya boleh ditamatkan lebih awal dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau turut memaklumkan bahawa nasihat undang-undang sedang diperoleh sebelum proses kepulangan Shuhaily ke pasukan polis dapat dimuktamadkan.
Shuhaily menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1998 dan memulakan kerjaya di Cawangan Khas sebelum menggalas beberapa jawatan kanan dalam bidang risikan serta operasi.
Antara jawatan pernah disandang beliau termasuk atase polis di Washington DC, ketua polis daerah, Ketua Polis Pulau Pinang dan Ketua Polis Kuala Lumpur.
Pada Ogos 2023, beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebelum dipinjamkan ke AKPS sebagai ketua pengarah pada Julai 2025.










