KKM Kekurangan 1,176 Pemandu, Pengisian Jawatan Bermula April 2027

KUALA LUMPUR: Kekurangan lebih 1,000 pemandu kenderaan di fasiliti kesihatan kerajaan, termasuk pemandu ambulans, dijangka berlarutan sehingga April tahun depan sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran operasi perkhidmatan kesihatan awam.

Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 1,176 kekosongan jawatan pembantu khidmat am (Pemanduan) daripada keseluruhan 8,863 perjawatan setakat 30 September lalu.

Daripada jumlah itu, hanya 7,687 jawatan sudah diisi, manakala Semenanjung Malaysia mencatatkan kekosongan tertinggi sebanyak 1,003 jawatan, diikuti Sarawak (92), Sabah (73) dan Labuan (lapan).

KKM menjelaskan, kekurangan tenaga kerja itu berpunca daripada kelewatan proses pengisian jawatan susulan penangguhan sementara urusan pengambilan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 2024.

Penangguhan berkenaan dibuat bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menyaksikan skim perkhidmatan pemandu kenderaan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) digabungkan ke dalam skim baharu, iaitu pembantu khidmat am (Pemanduan) di bawah klasifikasi perkhidmatan kemahiran (H).

Menurut KKM, perubahan skim itu memerlukan penelitian terhadap syarat kelayakan bagi memastikan calon yang dilantik mempunyai kemahiran serta kompetensi bersesuaian, khususnya untuk mengendalikan ambulans.

Pelaksanaan skim baharu itu juga bertujuan memperluas skop tugas, kemahiran pelbagai serta pelaksanaan tanggungjawab merentas fungsi.

Mengulas perkembangan pengambilan, KKM memaklumkan permohonan pengisian jawatan masih dalam tindakan SPA, manakala ujian kompetensi pemanduan (UKP) hanya selesai dilaksanakan pada 27 Oktober lalu.

“Pengisian akan dibuat secara berperingkat mulai April 2027, tertakluk kepada penyelesaian urusan pengambilan oleh pihak SPA,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Kementerian itu turut menjelaskan unjuran pengisian jawatan perlu mengambil kira kekosongan semasa, persaraan, penyusutan jumlah pegawai serta keperluan operasi di setiap fasiliti kesihatan.

Isu kekurangan pemandu ambulans sebelum ini turut dibangkitkan Presiden Kesatuan Pembantu Khidmat Am KKM Semenanjung Malaysia, Reostam Dzahar, yang menggesa kementerian mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, kekurangan tenaga kerja menyebabkan pemandu sedia ada terpaksa menanggung beban tugas berlebihan sehingga ada yang mengalami kelesuan melampau atau burnout akibat bekerja melebihi had masa ditetapkan.

Perkara itu turut mendapat perhatian susulan pengumuman perolehan 400 ambulans baharu menerusi Belanjawan 2027, sedangkan isu kekurangan pemandu masih belum diselesaikan.

Dalam perkembangan sama, KKM berkata pelaksanaan SSPA turut memerlukan penyelarasan skop tugas dan penempatan bagi mengelakkan pertindihan tanggungjawab antara pembantu khidmat am (Pemanduan) dengan pembantu khidmat am (Am).

Katanya, pembantu khidmat am (Am) sedia ada boleh dipertimbangkan untuk menjalankan tugas pemanduan di fasiliti kerajaan berdasarkan keperluan perkhidmatan dan kelulusan Jabatan Kesihatan Negeri atau ketua jabatan.

Bagaimanapun, penugasan itu tertakluk kepada ujian pemanduan serta tahap kompetensi pegawai berkenaan.

KKM menjelaskan pembantu khidmat am (Pemanduan) akan memberi tumpuan kepada fungsi pemanduan dan penyelenggaraan kenderaan jabatan, termasuk ambulans di lokasi penempatan masing-masing.

Sebaliknya, pembantu khidmat am (Am) akan melaksanakan tugas sokongan am mengikut keperluan jabatan, merangkumi fungsi yang sebelum ini dilaksanakan oleh skim pembantu operasi dan pembantu awam.

BBerkaitan

Latest articles