SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kini gering selepas disahkan dijangkiti virus Influenza A.
Menurut kenyataan Istana Alam Shah pada Sabtu, gejala jangkitan mula dikesan pada pagi Jumaat selepas baginda mengalami demam panas yang tinggi serta lemah anggota badan.
Kenyataan itu memaklumkan, perkara berkenaan disahkan oleh doktor peribadi baginda, Datuk Setia Dr Anuar Onah dan Datuk Setia Dr Tan Hui Meng yang sedang memberikan rawatan kepada baginda.
“Berdasarkan penilaian mereka, Baginda berkemungkinan mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis keramaian dan berinteraksi dengan orang ramai, termasuk di kawasan terbuka,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, keadaan kesihatan baginda kini dilaporkan beransur pulih walaupun masih mengalami demam.
Sehubungan itu, doktor yang merawat menasihatkan supaya baginda berehat dan tidak menghadiri sebarang majlis selama lima hingga tujuh hari bagi membolehkan proses pemulihan sepenuhnya.
Susulan perkembangan itu, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor yang dijadualkan berlangsung pada Ahad, 1 November, ditangguhkan ke Sabtu, 7 November ini.
Semua pihak yang terlibat diminta mengambil maklum mengenai perubahan tarikh berkenaan.
Dalam pada itu, Istana Alam Shah turut menyeru orang ramai supaya bersama-sama mendoakan agar Sultan Sharafuddin dikurniakan kesembuhan segera serta kesihatan dan kesejahteraan berpanjangan.










