KUALA LUMPUR: YTL Construction terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri pembinaan negara apabila meraih tiga pengiktirafan menerusi dua anugerah berprestij, termasuk kejayaan projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (Gemas-JB).
Projek yang dilaksanakan menerusi usaha sama SIPP–YTL JV itu menerima Anugerah Projek Terbaik bagi kategori Infrastruktur – Kategori Besar pada Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2026 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Selain itu, Pengarah Eksekutif YTL Construction, Yeoh Keong Yuan, turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kontraktor Muda Cemerlang pada majlis berkenaan.
Pencapaian itu melengkapkan satu lagi kejayaan syarikat apabila YTL Construction sebelum ini turut dianugerahkan Syarikat Pembinaan Terbaik (Infrastruktur Pengangkutan) 2026 pada Malaysia Building Excellence Awards anjuran Chartered Institute of Building (CIOB).
Mengulas pengiktirafan tersebut, Yeoh berkata, projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB merupakan antara pencapaian penting dalam pembangunan rangkaian pengangkutan rel negara, selain membuktikan kemampuan tenaga kerja tempatan mengendalikan projek infrastruktur berskala besar dan kompleks.
Projek bernilai RM8.9 bilion itu membabitkan pembinaan landasan sepanjang 192 kilometer (km) dengan 11 stesen, sekali gus melengkapkan rangkaian landasan berkembar elektrik dari Padang Besar hingga Johor Bahru.
Pelaksanaannya turut meningkatkan kesalinghubungan antara wilayah apabila perjalanan menggunakan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru kini mengambil masa kira-kira empat jam 20 minit.
Selain memendekkan tempoh perjalanan, projek berkenaan dijangka memberi kesan positif kepada aktiviti ekonomi serta merancakkan pembangunan kawasan di sepanjang laluan berkenaan.
Dari aspek teknikal, kerja pembinaan merangkumi kejuruteraan awam dan struktur, pemasangan landasan serta sistem kereta api, termasuk pelaksanaan kerja berhampiran landasan sedia ada yang masih digunakan bagi perkhidmatan penumpang dan kargo tanpa mengganggu operasi.
Projek itu turut memanfaatkan teknologi Building Information Modelling (BIM), dron dan Light Detection and Ranging (LiDAR) bagi mempertingkat ketepatan perancangan, pemantauan serta kecekapan pelaksanaan.
Sepanjang tempoh pembinaan, ia merekodkan sebanyak 28 juta jam kerja selamat dengan penglibatan lebih 3,000 jurutera dan pakar teknikal tempatan.
Malah, pelaksanaannya turut membuka lebih 35,000 peluang pekerjaan, dengan jumlah tenaga kerja mencecah hampir 10,000 orang ketika kemuncak pembinaan.
Menurut Yeoh, kejayaan meraih pengiktirafan itu adalah hasil komitmen dan kerjasama seluruh warga kerja syarikat, selain mencerminkan usaha berterusan YTL Construction dalam memperkukuh kepakaran tempatan serta menerapkan teknologi baharu.
Beliau berkata, syarikat akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan dan penyediaan infrastruktur berkualiti yang mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada negara.










