KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Rapid KL mengambil tindakan segera bagi menangani masalah kesesakan penumpang dalam perkhidmatan kereta api yang berulang kali menjejaskan perjalanan harian pengguna.
Menerusi hantaran di Threads, Anwar meminta kementerian dan pengendali perkhidmatan berkenaan supaya tidak memandang ringan aduan orang ramai, sebaliknya segera mencari penyelesaian terhadap masalah yang sudah kerap berlaku.
“Ambil perhatian pada permasalahan ini dan cari penyelesaian segera.
“Kerap kali terjadi dan ia pastinya merencatkan rutin harian rakyat terbanyak. Kita mesti lebih peka dan bertindak,” katanya.
Teguran itu menyusul selepas seorang pengguna Threads, @siti.anisahj, memuat naik gambar keadaan platform yang sesak di stesen LRT Gombak dan Taipan malam tadi.
Menerusi perkongsian itu, pengguna berkenaan meminta supaya jumlah gerabak ditambah bagi mengurangkan kesesakan, terutama ketika orang ramai bergantung kepada pengangkutan awam untuk ke destinasi masing-masing.
“Assalamualaikum @anwaribrahim_my. Nak minta gerabak ‘train’ lebih sikit boleh? Hari-hari begini.. ‘drive jem’, naik ‘train full’,” katanya.
Maklum balas Anwar terhadap aduan itu mendapat perhatian ramai apabila meraih hampir 37,000 tanda suka, lebih 360 komen dan kira-kira 2,200 perkongsian semula setakat 9.30 pagi.
Sebelum ini, perkhidmatan transit kendalian Rapid KL berdepan beberapa cabaran termasuk gangguan operasi, kesesakan penumpang dan pelarasan jadual perjalanan bagi memberi laluan kepada kerja infrastruktur serta penggantian tren lama.
Pada Februari lalu, Loke memaklumkan Prasarana Malaysia Berhad sudah membuat tempahan sebanyak 26 set tren baharu bagi laluan LRT Kelana Jaya.
Laluan berkenaan merupakan antara yang paling sibuk di Lembah Klang dengan jumlah penumpang mencecah 290,000 orang sehari.
Bagaimanapun, pengguna perlu menunggu sehingga Mac 2029 untuk menerima penghantaran tren baharu berkenaan, yang dijadualkan dibuat secara berperingkat sebanyak dua set setiap bulan.










