TH Pulihkan Hampir RM10 Bilion Kerugian Pelaburan Sejak 2018

KUALA LUMPUR: Hampir RM10 bilion kerugian pelaburan Tabung Haji (TH) berjumlah kira-kira RM12.6 bilion berjaya ditangani menerusi pelan pemulihan yang dilaksanakan sejak 2018, manakala baki RM2.6 bilion diselesaikan secara berperingkat hingga akhir 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dalam masa sama, tindakan terhadap mana-mana individu atau pihak yang dikenal pasti bertanggungjawab terhadap kelemahan tadbir urus atau pelanggaran undang-undang di TH perlu ditentukan berdasarkan bukti dan proses perundangan yang berkuat kuasa.

Ujarnya kerajaan tidak akan mencampuri urusan mahkamah kerana menghormati prinsip kedaulatan undang-undang serta kebebasan badan kehakiman.

Azalina berkata, keputusan berhubung sesuatu kes perlu dibuat mahkamah berdasarkan fakta, keterangan dan peruntukan undang-undang, manakala proses jenayah serta pendakwaan hendaklah dilaksanakan secara bebas tanpa campur tangan.

“Justeru kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk membuat keputusan berdasarkan fakta, keterangan dan peruntukan undang-undang berkuat kuasa,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung tindakan susulan terhadap individu atau pihak yang dikenal pasti mempunyai kelemahan tadbir urus berdasarkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.

Mengulas usaha memulihkan kedudukan kewangan TH, Azalina berkata, institusi itu sudah mengambil tindakan susulan terhadap pelaburan bermasalah yang dibangkitkan dalam laporan RCI.

Menurutnya, beberapa firma perakaunan dan guaman turut dilantik bagi melaksanakan analisis jurang serta mengemukakan cadangan penambahbaikan.

Usaha berkenaan dilaksanakan menerusi pelan pemulihan dan penstrukturan semula yang bermula pada 2018, bagi menangani sebahagian besar kerugian serta kemerosotan nilai aset terdahulu.

Azalina berkata, sejak 2018, TH juga berjaya mengekalkan kedudukan aset melebihi liabiliti pada setiap akhir tahun kewangan, selaras dengan kehendak Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Malah, kadar agihan keuntungan menunjukkan peningkatan secara berperingkat, dengan TH mengisytiharkan agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus tahun lalu, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Katanya, TH turut membina semula rizab bagi memperkukuh kedudukan kewangannya untuk jangka panjang.

Dalam perkembangan berkaitan, Azalina berkata, sebanyak 25 syor dikemukakan menerusi laporan RCI, dengan 17 daripadanya berada di bawah tanggungjawab TH, manakala lapan lagi perlu dilaksanakan pihak lain.

Pihak terbabit termasuk Kementerian Kewangan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) dan pihak berkuasa berkaitan.

Setakat ini, TH sudah melaksanakan 13 daripada 17 syor di bawah tanggungjawabnya, bersamaan 76 peratus.

Pelaksanaan itu merangkumi penambahbaikan dalam aspek tadbir urus, pelaporan kewangan, pengurusan pelaburan dan risiko, selain proses membuat keputusan.

Baki empat syor masih dalam tindakan TH, termasuk perkara berkaitan pindaan Akta 535 serta peraturan berkaitan tatatertib dan skop kawal selia Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti.

Sementara itu, lapan syor di bawah tanggungjawab pihak lain sebahagian besarnya melibatkan pengukuhan struktur Sukuk UJSB dan terma tawarannya, penebusan awal, peruntukan kerajaan serta tindakan penguatkuasaan.

Kerajaan, katanya, terus memastikan isu berkaitan TH ditangani mengikut kerangka undang-undang dan tanggungjawab pihak masing-masing.

BBerkaitan

Latest articles