PAC Sedia Terima Surat Wan Saiful Berhubung Tender Makanan KPM

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, bersedia menerima surat daripada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berhubung dakwaan ketidakaturan dalam tender bekalan makanan bermasak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bernilai kira-kira RM1.32 bilion.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Mas Ermieyati menerusi respons ringkas di platform Threads selepas Wan Saiful menyatakan hasrat untuk menghantar surat kepada beliau bagi memohon siasatan PAC terhadap tender berkenaan.

“Mohon serahkan surat kepada saya atau melalui sekretariat PAC bila saja ianya telah sedia. Terima kasih,” katanya.

Sebelum ini, Wan Saiful mendedahkan beberapa perkara yang menurutnya wajar diteliti berhubung tender bekalan makanan bermasak KPM Fasa 2 2026, termasuk kontrak bernilai besar yang diberikan kepada syarikat enterprise, latar belakang perniagaan syarikat, alamat yang sama serta persoalan mengenai modal syarikat.

Beliau turut membangkitkan isu keputusan tender Kolej Vokasional (KV) Krian yang didakwa tiba-tiba hilang daripada senarai.

Wan Saiful menegaskan pendedahan itu bukan tuduhan terhadap mana-mana pihak, sebaliknya meminta perkara berkenaan diteliti berdasarkan persoalan yang dibangkitkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat memaklumkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan keputusan cadangan terhadap 18 syarikat pada 13 Oktober 2026.

Syarikat terbabit didakwa bersekongkol mengatur harga bidaan dalam 30 tender makanan dan pembersihan bernilai RM108.3 juta yang dibuka oleh 12 agensi kerajaan, termasuk enam kementerian.

Menurut Wan Saiful, antara bukti yang dinyatakan menteri termasuk penyediaan dokumen tender secara berpusat, perkongsian harga bidaan serta perkongsian kewangan dan sumber manusia antara perusahaan terbabit.

Beliau turut memaklumkan bahawa MyCC sedang menyiasat 510 syarikat lain berhubung tender bernilai lebih RM3 bilion.

Bagaimanapun, Wan Saiful menjelaskan kes yang disiasat MyCC itu berbeza daripada tender KPM yang dibangkitkannya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada tender KPM berkenaan boleh diteliti menggunakan pendekatan siasatan yang sama dan meminta MyCC memberi perhatian terhadap pendedahannya.

Wan Saiful berkata, beliau akan mengemukakan surat rasmi kepada pengerusi PAC sebagai langkah susulan bagi memohon perkara itu disiasat.

BBerkaitan

Latest articles