KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menetapkan keputusan permohonan atlet berprestasi tinggi perlu dibuat dalam tempoh tujuh hari bekerja selepas menerima dokumen lengkap bagi mengelakkan kelewatan menjejaskan persediaan dan prestasi atlet.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan berkenaan juga perlu dimaklumkan secara bertulis kepada atlet dan persatuan masing-masing dalam tempoh tiga hari bekerja selepas keputusan dibuat.
Beliau berkata, bagi kejohanan kelayakan Sukan Olimpik, MSN dan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) akan menyediakan kalendar keputusan pada awal musim supaya urusan pembiayaan dan penyertaan dapat diputuskan sebelum tarikh akhir pendaftaran.
“Jika keputusan tidak dapat dibuat dalam tempoh sasaran, atlet dimaklumkan secara bertulis tentang sebabnya dan tarikh keputusan dijangka,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai reformasi pengurusan MSN susulan isu membabitkan jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang, serta sama ada kementerian menetapkan tempoh masa wajib bagi keputusan berkaitan penyertaan, pembiayaan dan sokongan kepada atlet elit negara.
Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui MSN komited memastikan pengurusan atlet berprestasi tinggi dilaksanakan secara cekap, telus dan responsif menerusi kerjasama bersepadu antara kementerian, MSN dan PSK.
Menurutnya, penambahbaikan pengurusan turut dilaksanakan menerusi sesi perbincangan bersama Persatuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) berkaitan Laluan Olimpik (Olympic Pathway) ke arah Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).
Katanya, penyelarasan antara MSN, persatuan sukan dan pihak berkepentingan turut dilakukan melalui pelbagai platform, termasuk Sesi Townhall Hala Tuju Sukan Berbasikal Program Pembangunan Negeri pada 8 Jun lalu.
“Antara langkah penambahbaikan yang sedang dilaksanakan adalah memperluas sesi libat urus dan perbincangan bersama atlet, PSK, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi mengenal pasti serta menangani isu dan keperluan sokongan atlet lebih awal,” katanya.
Beliau berkata, KBS turut memperkemas kerangka sokongan bagi atlet di bawah Olympic Pathway menerusi Program Road to Gold (RTG) atau Program Podium, termasuk keperluan mengemukakan pelan latihan, sasaran prestasi dan anggaran perbelanjaan secara bertulis.
Dalam usaha memperkukuh tadbir urus, MSN juga melantik pengurus sukan sebagai titik hubungan antara atlet, persatuan dan MSN bagi atlet di bawah Olympic Pathway.
Selain itu, keputusan lembaga atau jawatankuasa MSN yang membabitkan atlet elit akan dimaklumkan secara bertulis kepada atlet dan persatuan, berserta rekod tarikh keputusan serta tarikh pemakluman.
Taufiq berkata, garis panduan Program RTG dan Program Podium turut disemak bagi memperjelas kelayakan sokongan kepada atlet yang beraksi secara profesional atau bebas, termasuk mereka yang kembali ke laluan kelayakan Olimpik.
Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bertanggungjawab mempertimbangkan permohonan atlet berkaitan program latihan serta isu membabitkan atlet dan jurulatih.
“Sekiranya terdapat keperluan untuk mempertimbangkan perkara-perkara khas berdasarkan perkembangan dan keadaan semasa, Mesyuarat JKK Khas boleh diadakan bagi meneliti dan membuat pertimbangan terhadap perkara berbangkit, khususnya yang memerlukan keputusan atau tindakan segera,” katanya.
Beliau berkata, KBS melalui MSN akan terus memperkukuh penyelarasan bersama persatuan sukan bagi memastikan permohonan penyertaan, pembiayaan dan keperluan sokongan atlet dipertimbangkan secara teratur dengan mengambil kira perancangan latihan, jadual pertandingan serta sasaran prestasi mereka.










