KUALA LUMPUR: Selepas lebih enam dekad menjadi antara kemudahan yang dinikmati anggota tentera dan veteran bukan Islam, penjualan bir bebas cukai di premis Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) bakal ditamatkan susulan arahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Arahan itu mencetuskan rasa kecewa dalam kalangan bekas anggota tentera yang mempersoalkan keputusan berkenaan, terutama apabila tiada alasan dikemukakan bagi menjelaskan tindakan menghentikan penjualan minuman berkenaan.
Memetik FMT, seorang pengurus premis Pernama yang enggan dikenali berkata, pihaknya menerima arahan daripada pejabat Panglima ATM baru-baru ini supaya penjualan bir dihentikan sebaik sahaja stok sedia ada habis.
Menurutnya, semua premis turut diarahkan supaya tidak membuat pesanan baharu, yang kebiasaannya dilakukan setiap enam bulan.
Dengan baki stok dijangka habis menjelang penghujung tahun ini, penjualan bir di kira-kira 80 premis Pernama di seluruh negara dijangka berakhir selepas bekalan berkenaan habis dijual.
Sebelum ini, anggota tentera dan veteran bukan Islam dibenarkan membeli sehingga dua kotak bir setiap bulan menerusi kemudahan berkenaan, dengan setiap kotak mengandungi 48 tin atau botol.
Harga yang ditawarkan juga jauh lebih rendah berbanding pasaran biasa, iaitu kira-kira 60 peratus lebih murah berbanding premis runcit lain, menurut seorang bekas anggota tentera.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Pernama mengesahkan arahan menghentikan penjualan bir itu sudah disampaikan kepada semua premis kendaliannya.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya perlu mendapatkan penjelasan daripada pejabat perhubungan awam ATM berhubung sebab di sebalik arahan berkenaan.
Pernama menjelaskan peranannya adalah untuk memastikan anggota tentera serta penerima manfaat yang layak menikmati kemudahan mereka berdasarkan arahan dan dasar yang berkuat kuasa.
Pernama dimiliki sepenuhnya oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera, sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pertahanan.
Selain minuman beralkohol, premis berkenaan turut menawarkan peralatan elektrik bebas cukai, dengan setiap anggota tentera layak membeli satu barangan sepanjang tempoh perkhidmatan.
Awal bulan ini, New Straits Times melaporkan satu inisiatif baharu Kementerian Pertahanan menerusi Pernama yang membolehkan anggota tentera dan veteran membeli barangan keperluan pada harga diskaun sepanjang tahun.
Menerusi program itu, potongan harga sehingga 30 peratus ditawarkan bagi 308 jenis barangan.










