18 Syarikat Disyaki Kartel Tender RM108.3 Juta

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 tender bernilai RM108.3 juta membabitkan pembekalan makanan dan perkhidmatan pembersihan disyaki mempunyai unsur kartel tipuan bida, dengan 18 perusahaan dikesan terbabit dalam kegiatan itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan keputusan cadangan terhadap 18 perusahaan berkenaan pada 13 Oktober lalu.

Beliau berkata, tender terbabit termasuk pembekalan makanan bermasak untuk sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Keseluruhan tender ini membabitkan 12 entiti sektor awam, terdiri daripada enam kementerian, tiga IPTA, dua jabatan agama Islam negeri dan satu badan berkanun persekutuan.

“Jumlah keseluruhan nilai perolehan bagi 30 tender itu ialah RM108.3 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Menurutnya, perusahaan terbabit diberi peluang mengemukakan representasi kepada MyCC sebelum keputusan akhir dibuat berdasarkan maklum balas berkenaan dan bukti yang diperoleh sepanjang siasatan.

Antara bukti yang ditemukan termasuk penyelarasan serta penyediaan dokumen tender secara berpusat, pertukaran maklumat berkaitan cadangan harga bidaan dan perkongsian kewangan.

MyCC turut menemukan bukti perkongsian sumber manusia antara perusahaan yang disiasat.

Perkembangan itu menyusul selepas Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti isu beberapa syarikat yang didakwa berkongsi alamat pendaftaran sama, susulan kebimbangan kemungkinan wujud kartel atau pakatan sulit dalam perolehan tender Perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) Fasa Dua Tahun 2026 bagi tempoh 2027 hingga 2029.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata, MyCC secara keseluruhan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 58 syarikat berkaitan tipuan bida menerusi keputusan cadangan dan keputusan akhir, dengan jumlah penalti RM98.49 juta.

Katanya, MyCC turut menyiasat 510 syarikat yang disyaki terbabit dalam kegiatan sama, membabitkan tender bernilai lebih RM3 bilion dalam sektor awam dan swasta.

BBerkaitan

Latest articles