KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti monetari pentadbiran berjumlah RM552,000 terhadap AmBank (M) Berhad dan AmBank Islamic Berhad kerana gagal mengemukakan laporan nilai ambang tunai (CTR) kepada BNM dengan segera.
Dalam kenyataan pada Rabu, BNM memaklumkan kedua-dua institusi kewangan itu masing-masing dikenakan penalti RM276,000 pada 10 September 2026 berikutan kegagalan mengemukakan laporan berkenaan bagi beberapa transaksi.
Menurut BNM, sebagai institusi pelapor, AmBank dan AmBank Islamic diwajibkan mengemukakan CTR kepada BNM dengan segera bagi membantu pihak bank pusat dan agensi penguatkuasaan undang-undang lain mendapatkan maklumat penting untuk menyokong siasatan jenayah kewangan.
Pengemukaan CTR dalam tempoh ditetapkan juga dapat mengurangkan risiko institusi pelapor digunakan sebagai saluran pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan kegiatan jenayah lain.
BNM berkata, pelanggaran itu dikenal pasti menerusi semakan rekod transaksi dan pelaporan kawal selia oleh Kumpulan AmBank.
Semakan berkenaan mendapati kumpulan itu gagal mengemukakan CTR kepada BNM bagi beberapa transaksi berikutan kelemahan pelaksanaan teknologi yang berpunca daripada pengawasan tidak mencukupi terhadap perubahan sistem.
Kumpulan AmBank sejak itu mengambil langkah pemulihan, termasuk mengemukakan CTR yang tertinggal kepada BNM, menambah baik prosedur operasi standard dan sistem serta memperkukuh rangka kerja kawalan dan pengawasan.
Dalam menentukan jumlah penalti, BNM mengambil kira faktor yang memberatkan dan meringankan, termasuk tahap keseriusan pelanggaran serta kegagalan Kumpulan AmBank mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan pencegahan pengubahan wang haram, pembanterasan pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan senjata (AML/CFT/CPF).
Faktor lain yang dipertimbangkan ialah rekod pematuhan terdahulu kumpulan itu serta tindakannya selepas pelanggaran berlaku, termasuk pelaporan sendiri mengenai pelanggaran berkenaan dan keberkesanan langkah pemulihan bagi mencegah kejadian berulang.
Pada 22 September 2026, AmBank dan AmBank Islamic masing-masing telah membayar penalti RM276,000 yang dikenakan BNM.
TML Remittance didenda RM113,100
Dalam perkembangan berasingan, BNM mengenakan penalti monetari pentadbiran RM113,100 terhadap TML Remittance Center Sdn Bhd (TML) pada 24 September 2026 kerana gagal mematuhi keperluan usaha wajar pelanggan (CDD).
BNM berkata, pelanggaran itu dikesan ketika pemeriksaan penyeliaan di premis TML, yang mendapati syarikat berkenaan gagal menjalankan CDD terhadap pelanggannya bagi transaksi kiriman wang.
Pelanggaran itu berpunca daripada ketidakpatuhan terhadap keperluan kawal selia BNM dan prosedur operasi standard TML semasa proses pendaftaran pelanggan, selain kelemahan pengawasan operasi harian di peringkat cawangan.
Sebagai institusi pelapor, TML diwajibkan menjalankan CDD terhadap pelanggan bagi membolehkan penilaian risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan dibuat, selain mengurangkan risiko syarikat digunakan sebagai saluran bagi kegiatan berkenaan dan jenayah lain.
BNM memaklumkan TML telah mengambil langkah pemulihan dengan menambah baik sistem kiriman wang serta memperkukuh mekanisme pemantauan bagi memastikan pematuhan terhadap proses dan prosedur dalaman serta keperluan BNM.
Dalam menentukan penalti, BNM mengambil kira faktor yang memberatkan dan meringankan, termasuk tahap keseriusan pelanggaran, kawalan semasa bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan CDD, rekod pematuhan terdahulu serta keberkesanan tindakan pemulihan bagi mengelakkan pelanggaran berulang.
TML membayar penalti RM113,100 itu pada 25 September 2026.
Smile Honesty Forex didenda RM8,400
Sementara itu, BNM mengenakan penalti monetari pentadbiran RM8,400 terhadap Smile Honesty Forex Sdn Bhd (SHFSB) pada 24 September 2026 kerana gagal mematuhi keperluan menjalankan CDD.
BNM berkata, pelanggaran itu dikesan ketika pemeriksaan penyeliaan di premis syarikat berkenaan, yang mendapati SHFSB gagal menjalankan CDD terhadap seorang pelanggan berkaitan transaksi pertukaran mata wang akibat kecuaian kakitangan.
Sebagai institusi pelapor, SHFSB diwajibkan menjalankan CDD terhadap pelanggan bagi membolehkan syarikat menilai pendedahannya kepada risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, selain mengurangkan risiko institusi digunakan untuk kegiatan berkenaan dan jenayah lain.
BNM memaklumkan SHFSB telah mengambil langkah pemulihan dengan memperkukuh kawalan dalaman bagi menangani kelemahan yang dikenal pasti.
Dalam menentukan jumlah penalti, BNM mempertimbangkan faktor berkaitan, termasuk kawalan semasa bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan CDD, rekod pematuhan terdahulu serta tindakan selepas pelanggaran berlaku, khususnya keberkesanan langkah pemulihan bagi mencegah kejadian berulang.
SHFSB membayar penalti RM8,400 itu pada 7 Oktober 2026.
BNM menegaskan bahawa semua institusi pelapor perlu mengekalkan komitmen tinggi bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan AML/CFT/CPF.
Bank pusat itu turut memberi amaran bahawa tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan sewajarnya tidak akan teragak-agak diambil sekiranya mana-mana institusi pelapor gagal mematuhi keperluan undang-undang dan/atau kawal selia.
Menurut BNM, tindakan penguatkuasaan terhadap Kumpulan AmBank, TML dan SHFSB adalah selaras dengan pendekatan serta proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan BNM yang diterbitkan.
Nota: Institusi pelapor diwajibkan mengemukakan CTR kepada BNM dalam tempoh lima hari bekerja dari tarikh transaksi.
Bagi AmBank dan AmBank Islamic, penalti dikenakan masing-masing mengikut seksyen 234(3)(b)(i) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan seksyen 245(3)(b)(i) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Bagi TML dan SHFSB, penalti dikenakan mengikut seksyen 75(2)(b) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.










