IPCC Belum Terima Aduan Tamim Dahri Dakwa Dipaksa Berbogel Dalam Lokap

KUALA LUMPUR: Dakwaan aktivis kontroversi, Tamim Dahri Abdul Razak, dipaksa berbogel ketika berada dalam tahanan polis masih belum dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) menerusi aduan rasmi setakat 25 September lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata IPCC belum menerima sebarang aduan daripada Tamim berhubung dakwaan layanan kasar dan arahan supaya dia berbogel di hadapan tahanan lain.

Bagaimanapun, beliau menegaskan IPCC akan mengendalikan sebarang aduan salah laku membabitkan anggota polis mengikut Seksyen 25 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839).

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Parlimen bagi menjawab pertanyaan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai tindakan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.

Pada Februari lalu, Tamim mendakwa dia bersama tiga individu lain dilayan seperti haiwan dan diarahkan menanggalkan pakaian di hadapan anggota polis ketika dalam tahanan.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kerja pembersihan tanah di sebuah kuil di Taman Rawang Perdana.

Sebelum ini, dalam jawapan bertulis Parlimen pada Julai, Saifuddin menegaskan tindakan membogelkan tahanan bukan amalan polis ketika menguruskan individu yang ditahan.

Beliau turut menjelaskan semua agensi penguat kuasa yang melakukan tangkapan wajib mematuhi Seksyen 20A Kanun Tatacara Jenayah, manakala Jadual Keempat kanun itu memperincikan prosedur berkaitan tangkapan, termasuk pemeriksaan badan.

BBerkaitan

Latest articles