Peguam Negara Digesa Semak Semula Laporan Bekas Anggota Polis Terhadap KP AKPS

KUALA LUMPUR: Peguam Negara digesa membuka semula penelitian terhadap laporan polis yang dibuat bekas anggota polis, Saifuddin Abdul Kader, berhubung dakwaan dirinya dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Zain, pada 2015.

Peguam yang mewakilinya, Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin berkata, laporan berhubung kejadian itu dibuat pada 19 November 2015, namun tiada tindakan diambil setakat ini.

Menurut mereka, Saifuddin mendakwa dipukul pada bahu kiri oleh Shuhaily ketika bertugas di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada 17 November tahun sama kerana gagal memberi tabik hormat.

Shuhaily juga didakwa mengugut untuk memindahkan Saifuddin ke Sabah atau Sarawak serta mengenakan tindakan tatatertib terhadapnya.

Bekas anggota polis berpangkat rendah itu kemudiannya dikatakan berdepan pelbagai kesukaran dalam perkhidmatan sehingga diberhentikan daripada pasukan berkenaan.

Peguam terbabit berkata, pertuduhan terhadap Shuhaily berhubung kes kecederaan membabitkan dua anggota polis baru-baru ini mendorong anak guam mereka mengharapkan laporan lamanya turut diberikan perhatian sewajarnya.

Mereka menegaskan, semakan semula itu perlu bagi memastikan setiap aduan dinilai secara adil dan prinsip kedaulatan undang-undang dipertahankan tanpa pilih kasih.

Pada 21 Oktober lalu, Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua pegawai polis di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah Majistret membenarkan beliau diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 25 November ini untuk pengurusan kes.

BBerkaitan

Latest articles