KUALA LUMPUR – Persiapan menyambut Deepavali bukan sahaja meriah di rumah, malah turut mencetuskan suasana mesra dan penuh jenaka di media sosial. Ia memperlihatkan keindahan masyarakat Malaysia yang saling menghormati perayaan kaum lain.
Semuanya bermula apabila seorang pengguna Threads, mamarang09, membuat hantaran ringkas mengusik rakan-rakan berbangsa India yang sedang sibuk membuat persiapan perayaan.
“Indian sabar okay. Belakang TV dengan belakang peti ais mak dah suruh lap tak? Mesin basuh dah cuci?” tulisnya.
Hantaran itu meraih lebih 3,400 tanda suka dan 216 komen. Ramai pengguna, khususnya warganet berbangsa India, tampil berkongsi “tugasan wajib” daripada ibu masing-masing menjelang Deepavali dengan nada penuh jenaka.
Seorang pengguna, sharnietha_ratnam, berseloroh: “Baru siap lap atas almari kat bilik. Rasanya mak nak bawak tetamu pi duduk atas almari tahun ni.”
Pengguna gkalawathi pula menulis: “Saya tengah bersihkan belakang almari, takut saudara pergi makan dekat belakang almari.”
Seorang lagi pengguna, aadhi.prakash_b, berkongsi dia telah mengeluarkan, melipat dan menyusun semula semua pakaian seperti yang disuruh. Katanya, dia “takut tetamu terbuka almari baju saya, dalam bilik saya, di tingkat atas.”
Ada juga yang menyifatkan dirinya sudah “jadi mak India”, manakala seorang lagi berkongsi melihat jirannya mencuci atap rumah sambil diperhatikan ibunya dari bawah.
Mamarang09 turut membalas warganet dengan mesra. “Korang terlalu comel untuk dibalas satu-satu. Selamat membaca dan happy Deepavali in advance!” tulisnya.
Seorang pengguna lain, nurulmedinaren, merumuskan suasana itu dengan ringkas: “The komen section, sabar wahai my Indians friends, mak-mak kita semua SAMA jer.”
Hantaran ini membuktikan bahawa walaupun berbeza bangsa dan agama, rakyat Malaysia berkongsi pengalaman yang sama. Persiapan perayaan sentiasa sinonim dengan arahan “mak” yang tidak pernah berubah.
Masyarakat India di seluruh negara akan menyambut Deepavali pada Ahad, 8 November ini. Sempena perayaan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) turut mengumumkan cuti tambahan sekolah:
• Kumpulan A (Kedah, Kelantan dan Terengganu): Isnin, 9 November
• Kumpulan B (kecuali Sarawak): Selasa, 10 November










