Kedaulatan Wilayah Bukan Alasan Guna Kekerasan Tanpa Batas

KUALA LUMPUR: Hak sesebuah negara untuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah tidak boleh dijadikan alasan untuk menggunakan kekerasan terhadap gerakan pemisah tanpa batas, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, kesahan sesuatu tindakan perlu dinilai berdasarkan fakta, keadaan sebenar setiap kes serta undang-undang antarabangsa yang terpakai.

“Pada prinsipnya, sesebuah negara berdaulat mempunyai hak dan tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayahnya melalui langkah-langkah yang sah.

“Walau bagaimanapun, kedaulatan dan keutuhan wilayah tidak secara automatik memberikan justifikasi tanpa batas untuk penggunaan kekerasan terhadap sesuatu gerakan pemisah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) yang meminta penjelasan mengenai pendirian dasar luar Malaysia berhubung penggunaan kekerasan oleh sesebuah negara berdaulat terhadap gerakan pemisah, khususnya sama ada tindakan itu boleh dibenarkan atas alasan mempertahankan kedaulatan wilayah.

Menurut Mohamad, dasar luar Malaysia secara konsisten berpegang pada prinsip menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah sesebuah negara, tidak mencampuri urusan dalaman negara lain serta menyelesaikan pertikaian secara aman.

Katanya, pelaksanaan dasar luar negara turut berpaksikan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau menjelaskan, kesahan penggunaan kekerasan tidak boleh ditentukan semata-mata berdasarkan bagaimana sesuatu pihak atau gerakan itu ditakrifkan.

Sebaliknya, penilaian perlu dibuat berdasarkan fakta, keadaan sebenar dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“Sekiranya sesuatu keadaan melibatkan konflik bersenjata, undang-undang kemanusiaan antarabangsa hendaklah dipatuhi, termasuk kewajipan untuk melindungi orang awam.

“Sekiranya ia melibatkan tindakan penguatkuasaan undang-undang, penggunaan kekerasan juga tertakluk kepada prinsip dan undang-undang yang berkaitan,” katanya.

Mohamad berkata, Malaysia turut berpandangan bahawa isu yang mempunyai latar belakang sejarah, status dan konteks undang-undang tersendiri perlu dinilai berdasarkan keadaan khusus masing-masing serta pendirian rasmi Malaysia yang berkaitan.

Justeru, beliau menegaskan bahawa hak sesebuah negara untuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayahnya mesti dilaksanakan melalui cara yang sah, tanpa mengetepikan kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa.

“Selaras dengan prinsip dasar luarnya, Malaysia terus mengutamakan dialog, rundingan dan penyelesaian pertikaian secara aman.

“Sebarang penggunaan kekerasan perlu dinilai berdasarkan keadaan setiap kes dan tidak boleh dianggap sah semata-mata atas alasan mempertahankan kedaulatan wilayah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles