Bantuan RM1,000 Bukan Umpan Undi PRN Melaka -Loke

MELAKA: Bantuan khas kewangan RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah bukan bertujuan meraih undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu golongan itu di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata pemberian bantuan berkenaan dilaksanakan secara berperingkat di setiap negeri selepas diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen baru-baru ini.

Beliau berkata, tanggapan bahawa bantuan itu hanya disalurkan kepada pemandu di Melaka adalah tidak tepat kerana proses pengagihan turut dilakukan di negeri lain.

“Bantuan ini untuk semua pemandu teksi di seluruh negara, bukan di Melaka sahaja. Minggu lalu saya berada di Negeri Sembilan, hari ini di Melaka dan minggu depan pula di Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Auditorium Kompleks CMI, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 283 pemandu teksi dan kereta sewa menerima baucar bantuan bernilai RM1,000 setiap seorang.

Mengulas lanjut, Loke berkata kira-kira 12,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah dijangka menerima bantuan berkenaan sepanjang minggu ini bagi mengurangkan beban kewangan mereka.

Katanya, penerima yang tidak menghadiri majlis penyerahan akan menerima bantuan melalui pemindahan wang secara elektronik atau Electronic Fund Transfer (EFT) terus ke akaun bank masing-masing.

Beliau menjelaskan kelayakan bantuan tidak bergantung pada negeri tempat pemandu beroperasi, sebaliknya tertakluk kepada pemilikan kad pemandu yang sah serta pengesahan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Selagi mereka mempunyai kad pemandu yang sah dan disahkan APAD, nama mereka boleh didaftarkan dalam sistem untuk menerima bantuan RM1,000.

“Kita berharap bantuan ini dapat disalurkan secepat mungkin bagi meringankan beban yang ditanggung mereka,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles