KUALA LUMPUR: PAS mendesak kerajaan menyemak semula dan membatalkan syarat simpanan minimum RM15,000 dalam akaun Tabung Haji bagi membolehkan pendeposit mendaftar untuk menunaikan haji.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, syarat itu berisiko membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40), selain menjejaskan peluang mereka untuk mendapatkan giliran menunaikan haji.
Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, pendeposit yang sudah menunggu giliran selama 10 hingga 20 tahun berdepan risiko nama mereka tidak mendapat giliran sekiranya gagal memenuhi syarat simpanan berkenaan.
“RM15,000 itu seorang penyimpan. Biasa kita kira haji ini suami isteri, RM30,000 mesti ada dalam akaun,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Isnin.
Beliau turut mempersoalkan alasan bahawa syarat berkenaan dapat mengurangkan tempoh menunggu, dengan menyatakan faktor kesihatan dan kegagalan memenuhi syarat ditetapkan Arab Saudi juga boleh menyebabkan bakal jemaah menarik diri.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, konsep istitaah atau kemampuan menunaikan haji tidak seharusnya dilihat berdasarkan kemampuan kewangan semata-mata.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, kemampuan menunaikan haji turut mengambil kira faktor kesihatan, perjalanan dan keperluan lain.
Beliau berpandangan, syarat simpanan minimum itu boleh mematahkan hasrat masyarakat yang selama ini menyimpan wang secara berperingkat untuk menunaikan ibadah berkenaan.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu turut membangkitkan isu arahan supaya pengelola jemaah haji menggunakan firma audit yang ditetapkan, sedangkan sebelum ini mereka boleh memilih firma audit bertauliah.
Dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata, pelaksanaan syarat itu berisiko menafikan peluang golongan B40 menunaikan haji sekiranya kemampuan kewangan dijadikan ukuran utama.
Beliau berkata, wang yang perlu disimpan bagi memenuhi syarat berkenaan mungkin turut digunakan oleh golongan berpendapatan rendah untuk mencari rezeki dan mengembangkan perniagaan.
Justeru, beliau menggesa kerajaan meneliti semula dasar itu supaya pelaksanaan konsep istitaah tidak membebankan rakyat.
Tuan Ibrahim turut menyeru kerajaan mempertimbangkan mekanisme alternatif yang lebih meringankan beban pendeposit Tabung Haji.










