Ab Rauf: Soal Agihan Kerusi PRN Melaka Muktamad, MCA Hanya Dapat Dua

MELAKA: Barisan Nasional (BN) memuktamadkan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan tujuh kerusi diperuntukkan kepada parti rakan strategiknya, kata Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, rundingan pembahagian kerusi sudah selesai dan tiada pertindihan antara parti yang terlibat dalam kerjasama berkenaan.

“Semua rundingan sudah dimuktamadkan dan kita memberikan tujuh kerusi kepada rakan strategik. Tiada masalah dan tiada pertindihan,” katanya pada sidang media selepas BN mengumumkan 21 calon yang akan bertanding pada PRN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, malam tadi.

Ab Rauf yang juga Ketua Menteri sementara berkata, keputusan itu sudah dipersetujui semua pihak dan tidak sepatutnya menjadi pertikaian.

Menurutnya, daripada 21 kerusi yang ditandingi BN, dua diperuntukkan kepada MCA manakala satu lagi kepada MIC.

Bagaimanapun, MCA difahamkan tidak berpuas hati dengan pembahagian itu selepas parti berkenaan bertanding di tujuh kerusi pada PRN Melaka 2021.

Mengulas kemungkinan perubahan terhadap senarai calon, Ab Rauf menegaskan keputusan berkenaan sudah dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek.

“Kenapa perlu ada perubahan? Kita sudah melihat semua sudut sebelum memutuskan dan memuktamadkan nama calon. Jadi, mengapa perlu ada perubahan? Melainkan calon itu meninggal dunia,” katanya.

Ditanya mengenai pendirian MCA berhubung agihan kerusi berkenaan, beliau berkata, pihaknya belum memperoleh maklumat lengkap mengenai perkara itu.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf menegaskan tiada pertembungan dengan rakan strategik BN di Sungai Udang, yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri lalu.

Kerusi itu kini ditandingi Datuk Rais Yasin, manakala penyandangnya, Dr Mohd Aleef Yusof, yang sudah menyertai Parti Wawasan Negara, sebelum ini meminta BN menghormati hak PN untuk mempertahankan kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Ab Rauf berkata, beliau tidak akan melayan bantahan Mohd Aleef.

“Jika dia mahu membuat bising, itu haknya. Kita tidak berurusan dengannya,” katanya.

Beliau menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai langkah ke arah penyatuan UMNO dan PAS yang menurutnya sudah lama dinantikan rakyat.

PRN Melaka akan menyaksikan hari penamaan calon pada 31 Oktober ini, manakala pengundian ditetapkan pada 14 November.

BBerkaitan

Latest articles