KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mendapatkan pandangan pakar industri dan teknologi navigasi sebelum mengambil sebarang tindakan mengharamkan aplikasi Waze yang digunakan kira-kira enam juta pengguna jalan raya di Malaysia.
Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, berkata keputusan terburu-buru boleh menjejaskan perjalanan harian, sumber pendapatan pekerja gig serta urusan logistik yang bergantung pada aplikasi berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan tindakan sedemikian sedangkan beberapa negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), termasuk Arab Saudi, UAE dan Qatar, tidak mengharamkan Waze walaupun berdekatan dengan kawasan konflik.
Menurutnya, larangan tanpa penelitian menyeluruh berisiko mengganggu aktiviti ekonomi dan menjejaskan reputasi sektor digital Malaysia.
Yeo juga mempersoalkan kemampuan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) membangunkan sistem navigasi setanding platform global, memandangkan teknologi itu memerlukan data peta yang sentiasa dikemas kini, penambahbaikan berterusan dan pasukan jurutera khusus.
Beliau mengambil contoh Korea Selatan yang mempunyai aplikasi navigasi tempatan seperti Naver Map dan KakaoMap, dibangunkan oleh syarikat teknologi tempatan.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan penjawat awam menghentikan penggunaan Waze susulan kebimbangan maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi berisiko dieksploitasi Israel.










