PRN Melaka: Zahid Jangka Isu ‘Penyakauan’ Berulang Dalam Kempen BN

AYER KEROH: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan isu ‘penyakauan’ akan kembali dimainkan pihak lawan bagi memburukkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) Melaka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pelbagai dakwaan dan fitnah dijangka dilemparkan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, UMNO serta rakan komponen BN sepanjang tempoh berkempen.

Menurutnya, jentera parti perlu bersedia menghadapi serangan berkenaan, termasuk di media sosial, dengan menjelaskan pencapaian kerajaan negeri kepada rakyat.

“Yakinlah, menjelang kempen nanti, pasti pelbagai fitnah kepada Datuk Rauf, kepada BN, kepada UMNO dan rakan-rakan BN di negeri Melaka dan mereka akan mula.

“Hampir pasti soal penyakauan akan ditimbulkan lebih kerap. Biarlah kita dicerita dan dilempar dengan kejian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon BN Melaka di Ayer Keroh, malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, jentera BN perlu memanfaatkan platform media sosial seperti TikTok dan Facebook bagi menjawab dakwaan yang dibangkitkan pihak lawan sepanjang kempen.

Menurutnya, perjuangan parti ketika ini bukan sahaja tertumpu kepada gerak kerja di lapangan, malah turut melibatkan ruang digital yang semakin penting dalam penyampaian maklumat kepada rakyat.

“Saya yakin dan saya percaya, majoriti daripada kita ada media sosial. Ada TikTok, ada Facebook dan pelbagai-bagai. Perjuangan kita bukan hanya di lapangan, tetapi juga dalam talian.

“Jadi, kalau setiap seorang daripada kita bangkit menjawab fitnah, saya yakin kita boleh memenangkan calon-calon Barisan Nasional,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan jentera BN supaya tidak terlalu yakin dengan kemenangan parti itu di Johor dan Negeri Sembilan kerana pencapaian berkenaan bukan jaminan untuk memperoleh keputusan sama di Melaka.

Beliau berkata, BN perlu bekerja keras mendekati rakyat dan memperkukuh sokongan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), selain memastikan gerak kerja akar umbi diselaraskan dengan baik.

Katanya, kemenangan BN di Johor dengan memperoleh 48 daripada 56 kerusi dan 18 kerusi di Negeri Sembilan perlu dijadikan motivasi, bukannya alasan untuk berasa selesa.

Ahmad Zahid turut mengingatkan calon yang dipilih supaya tidak bersikap sombong atau hanya memberi perhatian kepada kelompok sendiri sehingga memecahbelahkan jentera parti.

Pada masa sama, beliau meminta anggota yang tidak terpilih sebagai calon agar tidak berkecil hati atau menarik diri daripada perjuangan, sebaliknya terus membantu memastikan kemenangan BN.

“Kalau dulu orang ramai membantu kita, jentera membantu kita untuk kemenangan, kali ini kita mesti membantu jentera yang ada untuk memenangkan calon-calon kita pula,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles