Takiyuddin Enggan Tarik Balik Istilah ‘Munafik’, Mahu Mediasi Dengan Rayer

KOTA BHARU: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, enggan menarik balik kenyataannya yang menggunakan perkataan ‘munafik’ di Dewan Rakyat, sebaliknya mencadangkan sesi mediasi bersama Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, bagi menyelesaikan pertikaian itu.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, surat mencadangkan mediasi sudah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, dan diterima kelmarin.

Menurutnya, sesi itu bertujuan membolehkan kedua-dua pihak dipanggil untuk berbincang bagi mencari penyelesaian secara baik.

“Saya tidak tarik balik. Sebaliknya saya buat surat kepada Speaker dan mencadangkan Speaker supaya mengadakan mediasi.

“Mediasi ini adalah Speaker panggil saya, panggil Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer masuk dan bincang, cuba selesaikan,” katanya pada sidang media selepas Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (HIMPAK), malam tadi.

Hadir sama, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Takiyuddin berkata, beliau kini menunggu maklum balas Speaker berhubung cadangan berkenaan.

Beliau turut mengakui kemungkinan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sekiranya mediasi tidak dilaksanakan.

Sebelum ini, Johari dilaporkan mengarahkan Takiyuddin menarik balik penggunaan perkataan ‘munafik’ selewat-lewatnya kelmarin selepas meneliti penyata rasmi persidangan Dewan Rakyat.

Johari turut memaklumkan bahawa penarikan balik kenyataan itu boleh dibuat sama ada di dalam Dewan Rakyat atau menerusi surat bertulis kepadanya.

BBerkaitan

Latest articles