Luka Dikhianati Bersatu Belum Sembuh, Damian Yeo Boikot Kempen PH

MELAKA: Luka politik lama yang belum sembuh mendorong bekas Pengerusi DAP Melaka, Damian Yeo, mengambil keputusan memboikot kempen Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini susulan spekulasi kemungkinan kerjasama pilihan raya dengan Bersatu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu berkata, beliau tidak lagi berminat untuk terlibat dalam politik mahupun membantu kempen pilihan raya selepas mendapat tahu kemungkinan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban diserahkan kepada Bersatu menerusi rancangan di bawah kerangka PH Plus.

Menurutnya, beliau baru-baru ini bertemu seorang lagi bekas Ketua DAP Melaka, Tey Kok Kiew, bagi membincangkan strategi PH menghadapi PRN akan datang.

Bagaimanapun, khabar mengenai kemungkinan persefahaman dengan Bersatu mengubah pendiriannya secara drastik.

“Tetapi, apabila saya mendapat tahu rancangan di bawah PH Plus mungkin melibatkan penyerahan kerusi Bemban kepada Bersatu, reaksi spontan saya ialah ‘Lupakan saja, saya tarik diri’.

“Luka akibat ditikam dari belakang belum sembuh. Sesetengah pengkhianatan politik terlalu sukar untuk dilupakan, apatah lagi dimaafkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Yeo merujuk kepada peranan Bersatu dalam kejatuhan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Melaka pimpinan PH pada 2020 yang meninggalkan kesan mendalam terhadap parti itu.

Beliau menegaskan keputusan untuk berundur daripada aktiviti politik dibuat selepas mendengar perkembangan berkenaan, sekali gus menutup hasratnya untuk terlibat dalam kempen PRN kali ini.

“Selepas dengar semua ini, saya telah membuat keputusan: Saya tarik diri. Tiada lagi politik. Tiada lagi kempen pilihan raya.

“Ada perkara lain lebih berfaedah untuk saya lakukan dalam hidup saya. Semoga berjaya kepada semua,” katanya.

Yeo dilantik sebagai Pengerusi DAP Melaka pada 2021 selepas Tey meletakkan jawatan, sebelum melepaskan kedudukan itu pada 2023.

Beliau memenangi kerusi DUN Duyong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dengan majoriti 2,895 undi.

Bagaimanapun, beliau tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Noor Helmy Abdul Halem, pada PRN Melaka 2021 dengan majoriti tipis 200 undi.

Sementara itu, PH Melaka sebelum ini menegaskan gabungan itu akan bertanding secara solo pada PRN kali ini.

Namun, spekulasi mengenai kemungkinan persefahaman pilihan raya dengan Bersatu terus berlegar, terutama selepas pemimpin PH negeri dan Bersatu menghadiri majlis makan malam bersama pada bulan lalu.

Ketiadaan wakil DAP dalam majlis berkenaan turut mencetuskan persoalan mengenai hala tuju hubungan politik antara parti-parti terbabit menjelang PRN Melaka.

BBerkaitan

Latest articles