Zahid Sahkan Ab Rauf Kekal Ketua Menteri Melaka Jika BN Menang

JASIN: Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan terus menerajui kerajaan Melaka sebagai Ketua Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) bersama rakan strategiknya berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Ab Rauf berdasarkan rekod prestasi serta potensi yang ditunjukkannya sejak memegang jawatan Setiausaha Kerja UMNO sebelum ini.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan BN akan memastikan rakyat Melaka terus mendapat kepimpinan sedia ada, tanpa sebarang pertukaran individu bagi jawatan Ketua Menteri.

“Insya-Allah Datuk Rauf, walaupun kita ‘order’ barang (secara) online, barang yang ‘order’, barang itulah juga yang Melaka akan dapat,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran jentera BN Parlimen Jasin di Dewan Alamanda, malam tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon berlangsung pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

Pada PRN Melaka 2021, BN mencatat kemenangan besar apabila menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membentuk kerajaan negeri.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.

BBerkaitan

Latest articles