MELAKA: Jentera Barisan Nasional (BN) Melaka diminta mengetepikan perbezaan dan prasangka terhadap PAS, sebaliknya memberi tumpuan kepada kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata keputusan kerjasama di peringkat kepimpinan perlu diterima semua pihak dan dilaksanakan menerusi gerak kerja bersama di lapangan.
Beliau berkata, kesediaan jentera parti bekerjasama penting bagi memastikan persiapan menghadapi PRN berjalan lancar.
“Keputusan sudah dibuat dan saya menyeru kepada semua jentera supaya gerak kerja bersama dengan gerak kerja PAS. Ini mesti dilakukan tanpa prasangka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan jentera pilihan raya BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N12 Pantai Kundor, hari ini.
Turut hadir, bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi dan Pengerusi MCA Melaka, Datuk Lim Ban Hong.
Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, PRN itu turut menjadi ukuran kekuatan gabungan berkenaan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU), selain menentukan hala tuju negeri.










