KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf sekiranya keputusan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze menimbulkan kesulitan kepada rakyat, namun menegaskan keselamatan negara dan maklumat peribadi tidak boleh dikompromi.
Beliau berkata, langkah itu terpaksa diambil bagi memastikan keselamatan negara serta rakyat terus terpelihara, termasuk daripada risiko penyalahgunaan maklumat.
“Saya mohon maaf andai keputusan pengharaman aplikasi navigasi milik rejim Israel (bagi penjawat awam) ini menyusahkan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, lapor Bernama.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan kedaulatan negara dan keselamatan maklumat peribadi rakyat perlu dipertahankan, sekali gus menjadi pertimbangan utama dalam keputusan berkenaan.
“Namun, soal keselamatan negara dan rakyat tidak boleh dikompromi sama sekali kerana kedaulatan negara serta keselamatan maklumat peribadi rakyat mesti kita pertahankan,” katanya.
Terdahulu, Anwar berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan melaksanakan larangan penggunaan Waze secara menyeluruh di negara ini.
Menurut beliau, perkara itu akan diteliti selepas kerajaan menilai pilihan alternatif, termasuk keupayaan tempatan untuk membangunkan aplikasi navigasi yang mampu berfungsi dengan baik sebagai pengganti Waze.
Rabu lalu, kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi berkenaan bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan yang dikaitkan dengan rejim Israel.










