KUALA LUMPUR: BDS Malaysia menggesa kerajaan supaya memperluaskan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze susulan kebimbangan terhadap keselamatan negara dan kedaulatan Malaysia.
Organisasi itu menyambut baik arahan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi berkenaan ketika menjalankan urusan rasmi, selain menyokong gesaan supaya orang ramai turut menghentikan penggunaannya.
Dalam satu kenyataan, BDS Malaysia menegaskan langkah itu wajar diambil bagi mengelakkan sebarang risiko penyalahgunaan maklumat yang boleh menjejaskan kepentingan negara.
“Kami menyokong sepenuhnya arahan ini yang dikeluarkan demi mengelakkan keselamatan dan kedaulatan negara daripada disalahgunakan oleh Waze, sebuah syarikat berpangkalan di Israel, demi kepentingan rejim aparteid Zionis yang melakukan pembunuhan beramai-ramai,” menurut kenyataan itu.
BDS Malaysia turut menggesa kerajaan supaya kekal konsisten dalam mengambil langkah melindungi keselamatan negara, terutama dalam menangani isu yang membabitkan risiko pendedahan maklumat sensitif.
Gesaan itu menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Rabu mengarahkan penjawat awam menghentikan penggunaan Waze berikutan kebimbangan maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi berisiko dieksploitasi oleh Israel.
Keputusan itu turut mencetuskan perdebatan mengenai keselamatan data pengguna serta keperluan menyediakan aplikasi navigasi alternatif yang mampu memenuhi keperluan orang ramai.
BDS Malaysia merupakan sebahagian daripada gerakan global Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) yang memperjuangkan boikot, penarikan pelaburan dan pelaksanaan sekatan terhadap Israel sebagai usaha menyokong hak rakyat Palestin.










