KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak kemungkinan mengharamkan penggunaan aplikasi navigasi Waze sepenuhnya sekiranya aplikasi alternatif yang tersedia didapati mampu memenuhi keperluan pengguna, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, penilaian terhadap keupayaan aplikasi alternatif akan dilakukan terlebih dahulu sebelum kerajaan membuat keputusan lanjut mengenai penggunaan Waze.
“Kalau dah esok kita tengok keupayaan kita cukup baik, maka kita mungkin… kemungkinan untuk menghentikan sama sekali,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana, hari ini.
Mengulas gesaan Pemuda DAP supaya kerajaan menyemak semula larangan berkenaan, Anwar berkata isu itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan mendapat persetujuan kepemimpinan parti berkenaan.
“Pimpinan DAP semua ada, Gobind dan Loke setuju,” katanya merujuk kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Menurut Anwar, keputusan mengehadkan penggunaan Waze dibuat atas pertimbangan keselamatan negara, khususnya membabitkan risiko pendedahan maklumat kepada pihak luar.
Beliau membangkitkan kebimbangan berhubung kedudukan Waze yang berpangkalan di Israel serta perjanjian perkhidmatannya yang tertakluk kepada undang-undang negara itu.
“Apakah sanggup kita serah maklumat kita kepada undang-undang Israel? Itu soalnya… kerana kita antara negara yang keras menentang rejim Zionis Israel yang kejam itu,” katanya.
Anwar turut memberi amaran bahawa tindakan kerajaan itu mungkin mengundang reaksi pihak tertentu, namun mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil pendirian yang boleh menjejaskan kepentingan negara sendiri.
Pada 21 Oktober lalu, kerajaan melarang penjawat awam menggunakan Waze ketika menjalankan urusan rasmi susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Anwar.
Sebagai alternatif, beliau menggalakkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan TuJu, yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan kerjasama Prosignal Consortium Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Anwar mengakui TuJu masih mempunyai beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, sambil meminta pengguna memberikan masa kepada kerajaan untuk menilai keupayaan aplikasi berkenaan dan pilihan lain yang tersedia.
Larangan itu mencetuskan perdebatan mengenai keselamatan data, keberkesanan aplikasi alternatif serta kesesuaian langkah berkenaan untuk dilaksanakan secara lebih meluas.
Sebelum ini, Pemuda DAP menggesa kerajaan menilai semula keputusan itu, manakala pihak Waze menafikan dakwaan bahawa aplikasinya mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membolehkan data peribadi pengguna dieksploitasi.










