KUALA LUMPUR: Kepulangan beberapa bekas pemimpin ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh organisasi parti dan membina semula jaringan akar umbi, bukannya mencetuskan persaingan merebut jawatan serta pengaruh.
Bekas Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Dr Mahathir Mohd Rais berkata, pengalaman serta hubungan masyarakat yang dimiliki bekas pemimpin berkenaan berpotensi membantu PKR mengukuhkan kedudukannya.
Beliau yang kini merupakan ahli PKR berkata, pengalaman politik bekas pemimpin seperti Edmund Santhara Kumar, Kamarudin Jaffar, Tian Chua, Xavier Jayakumar dan Steven Choong Shiau Yoon tidak seharusnya diketepikan hanya kerana perbezaan politik pada masa lalu.
“Dalam politik, perjalanan seseorang jarang bergerak lurus. Ada yang keluar, ada yang kembali, ada yang berubah pendirian dan ada yang akhirnya memilih tempat yang dirasakan lebih sesuai dengan perjuangan mereka.
“Soalnya bukan sama ada semua orang mempunyai sejarah yang sempurna. Soalnya ialah apa yang mereka mahu buat sekarang,” katanya.
Menurut Mahathir, langkah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka ruang kepada bekas pemimpin dan aktivis untuk kembali menunjukkan keperluan menyatukan semula kekuatan parti.
Bagaimanapun, beliau berkata, usaha itu tidak seharusnya menyebabkan ahli yang kekal bersama PKR ketika parti berdepan tempoh sukar berasa diketepikan.
“Ada ahli yang terus menjaga cabang, buat program, turun kawasan dan mempertahankan parti ketika nama-nama besar sudah keluar parti. Mereka ini layak dihormati,” katanya.
Beliau berkata, kepulangan bekas pemimpin perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh cabang, memperkemas jentera pilihan raya, membina semula hubungan dengan pengundi serta membantu membangunkan pemimpin muda.
Menurutnya, sokongan penyokong lama tidak semestinya kembali secara automatik hanya kerana seseorang pemimpin menyertai semula parti.
“Kalau proses ini akhirnya bertukar menjadi satu lagi perebutan jawatan dan pengaruh, PKR hanya akan mengulang masalah lama dalam bentuk baharu,” katanya.
Mengulas tanggungjawab PKR sebagai parti kerajaan, Mahathir berkata, kekuatan organisasi perlu bergerak seiring dengan pelaksanaan dasar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Beliau berkata, pengumuman pelbagai inisiatif menerusi Belanjawan 2027 perlu disusuli penyampaian maklumat yang berkesan supaya golongan sasaran mengetahui kelayakan serta cara mendapatkan bantuan.
“Dasar dibuat di Putrajaya, tetapi keyakinan rakyat dibina di kawasan,” katanya.
Menurutnya, pemimpin tempatan dan cabang perlu memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat, termasuk menjelaskan dasar, membantu masyarakat mendapatkan maklumat dan menyampaikan masalah pelaksanaan kepada pihak berkaitan.
Mahathir turut berpandangan PKR tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Anwar, sebaliknya perlu membina organisasi yang kukuh serta menyediakan ruang kepada pemimpin pelapis.
“Parti yang mahu bertahan lama tidak boleh bergantung selama-lamanya kepada seorang pemimpin,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan kepulangan bekas pemimpin perlu diukur berdasarkan kemampuan memperkukuh cabang, menyusun jentera pilihan raya, memberikan ruang kepada pemimpin muda dan membina semula keyakinan rakyat.










