Muhyiddin Kecewa PN Dibatalkan, Tegur Pemimpin Gabungan Jangan Salah Guna Kuasa

KUALA LUMPUR: Pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) mengundang kekecewaan pengasasnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengingatkan pemimpin gabungan politik supaya tidak mengutamakan kepentingan parti tertentu sehingga mengetepikan hak anggota lain.

Presiden Bersatu itu berkata, keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berkenaan wajar dijadikan iktibar agar kepimpinan gabungan sentiasa mengamalkan keadilan dan menghormati hak setiap parti yang membentuk kerjasama politik.

Beliau menegaskan, kedudukan dalam gabungan tidak seharusnya digunakan untuk memenuhi kepentingan kelompok tertentu sehingga menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya.

“Jangan salah guna kuasa dan kedudukan dalam parti gabungan semata-mata untuk kepentingan parti atau kelompok tertentu sehingga menyebabkan parti gabungan tergelincir daripada tujuan dan matlamat asal penubuhannya,” katanya menerusi kenyataan.

Muhyiddin, yang mengasaskan PN enam tahun lalu, berkata beliau akan mendapatkan pandangan kepimpinan Bersatu mengenai tindakan susulan dalam mesyuarat khas biro politik yang dijadual berlangsung malam ini.

Terdahulu, JPPM memutuskan untuk membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu tidak mencukupi untuk menangkis alasan pembatalan yang dimaklumkan sebelum ini.

Keputusan berkenaan dibuat berdasarkan subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, selepas JPPM meneliti dokumen serta maklum balas rasmi yang diserahkan PN pada 12 Oktober lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan memaklumkan bahawa gabungan itu akan membawa keputusan berkenaan ke mahkamah dan memohon penangguhan pelaksanaannya sehingga kes diputuskan.

Isu berkenaan tercetus susulan aduan Bersatu yang mendakwa parti itu tidak diberikan ruang untuk menyertai perbincangan, mengemukakan pandangan dan mengundi ketika mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.

BBerkaitan

Latest articles