KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menafikan melantik mana-mana pihak ketiga atau mewujudkan akaun media sosial khas bagi mengendalikan urusan pengambilan pekerja seperti yang didakwa sebuah akaun TikTok.
KTMB dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, pihaknya mengambil maklum kewujudan akaun TikTok ‘kerjaya.ktmb’ yang dipercayai menyalahgunakan nama dan logo syarikat itu bagi tujuan penipuan, khususnya berkaitan tawaran pekerjaan.
Menurut kenyataan itu, akaun berkenaan turut dipercayai digunakan untuk mendapatkan maklumat peribadi pengguna.
“KTMB ingin menegaskan bahawa pihaknya tidak melantik mana-mana pihak ketiga atau mewujudkan akaun media sosial khas untuk mengendalikan urusan pengambilan pekerja seperti yang didakwa oleh akaun berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pekerjaan atau maklumat yang meragukan serta tidak mendedahkan maklumat peribadi melalui saluran yang tidak disahkan.
KTMB turut memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung penyalahgunaan nama dan logo syarikat itu serta penyebaran tawaran pekerjaan palsu berkenaan.
“KTMB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penipuan, penyamaran, penyalahgunaan identiti korporat atau apa-apa perbuatan lain yang menyalahi undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, orang ramai diminta merujuk laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my serta saluran media sosial rasmi syarikat berkenaan bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai peluang kerjaya, pengambilan pekerja dan pengumuman rasmi.
KTMB turut merakamkan penghargaan kepada pemilik akaun media sosial, Syed Al Hafiz, atas keprihatinan dan inisiatif beliau berkongsi maklumat serta memberi peringatan kepada orang ramai mengenai cubaan penipuan tersebut.
Menurut KTMB, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan nama, logo dan identiti korporat yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keselamatan maklumat peribadi orang ramai.
KTMB menegaskan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi menangani isu berkenaan.










