Teresa Kok Menang Saman Fitnah Terhadap Akmal, Mahkamah Perintah Bayar RM250,000

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, menyambut baik keputusan mahkamah yang memihak kepadanya dalam saman fitnah terhadap Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh.

Beliau berkata, keputusan itu bukan sahaja memulihkan reputasinya, malah menegaskan bahawa kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab dan akauntabiliti.

Menurut Teresa, mahkamah memerintahkan pembayaran ganti rugi am dan ganti rugi teruk berjumlah RM250,000 serta kos sebanyak RM50,000.

Mahkamah turut mengeluarkan injunksi bagi menghalang penerbitan semula kenyataan berunsur fitnah berkenaan serta mengarahkan kenyataan itu dipadam daripada media sosial dalam tempoh tujuh hari.

Sebagai wakil rakyat yang dipilih, Teresa berkata, beliau terbuka terhadap kritikan membina dan perbahasan politik yang tegas.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk memfitnah, menghina atau menjejaskan reputasi seseorang secara tidak adil.

“Tindakan undang-undang ini bukanlah untuk mendapatkan keuntungan kewangan atau membungkam lawan politik.

“Sebaliknya, ia adalah mengenai maruah, prinsip dan usaha menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau turut menegaskan bahawa perbezaan politik seharusnya ditangani melalui fakta dan perbahasan yang berlandaskan hujah, bukannya serangan peribadi.

Menurutnya, tiada sesiapa yang terkecuali daripada undang-undang, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh politik masing-masing.

Teresa berharap keputusan penghakiman itu menjadi peringatan bahawa kebebasan dalam sistem demokrasi perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat serta mempertahankan nilai-nilai demokrasi.

“Undang-undang telah bersuara dan keadilan telah ditegakkan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles