Jerebu: Kesihatan murid diutamakan, pelan penutupan sekolah diperhalusi — PM

KUALA LUMPUR: Kesihatan anak-anak sekolah mesti menjadi keutamaan dalam menghadapi situasi jerebu yang masih membimbangkan, dengan langkah teratur bagi memastikan pembelajaran mereka tidak terjejas, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikannya petang tadi membincangkan cadangan menambah baik Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, khususnya berkaitan arahan penutupan sekolah.

Menurutnya, perbincangan turut memberi perhatian kepada persediaan awal Kementerian Pendidikan bagi memastikan pembelajaran dapat diteruskan sekiranya sekolah terpaksa ditutup selama beberapa hari.

“Saya tegaskan bahawa kesihatan anak-anak mesti menjadi keutamaan, dengan langkah yang teratur bagi memastikan pelajaran mereka tidak terjejas,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Anwar berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi Malaysia akan memperhalusi cadangan berkenaan bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa keperluan peruntukan bagi operasi pembenihan awan untuk mengurangkan jerebu akan dipenuhi.

“Operasi ini sedang dijalankan hampir setiap hari, bergantung pada keadaan awan yang sesuai,” katanya.

Pada masa sama, mesyuarat turut menerima taklimat mengenai persediaan negara menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka membawa hujan lebat dan risiko banjir.

Menurut Anwar, mesyuarat juga dimaklumkan mengenai ancaman Super El Nino yang diramal membawa cuaca panas dan kering melampau tahun depan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kesiapsiagaan agensi barisan hadapan mesti terus dipertingkat, manakala NADMA perlu diperkasa sebagai nadi penyelarasan dasar dan operasi merentas agensi.

Katanya, penyelarasan itu, khususnya melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat, penting bagi memastikan langkah pencegahan, persediaan, tindak balas dan pemulihan dilaksanakan dengan pantas serta berkesan.

Beliau turut menyeru Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, sektor swasta, sukarelawan serta masyarakat supaya bersama-sama memperkukuh kesiapsiagaan komuniti.

“Nyawa rakyat mesti dilindungi dan bantuan mesti sampai segera kepada mereka yang memerlukan. Inilah amanah yang mesti kita galas bersama,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles