KUALA LUMPUR: Sumbangan orang ramai kepada tabung bagi membayar denda Datuk Seri Najib Razak tidak wajar dianggap sebagai “the most stupidest thing” kerana penyumbang mempunyai pertimbangan dan alasan tersendiri, kata pengamal undang-undang, Dato’ Hasnal Rezua Merican.
Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) itu berkata, sebahagian rakyat menyumbang atas dasar sokongan, mengenang jasa bekas Perdana Menteri berkenaan atau kerana berpandangan beliau berdepan ketidakadilan.
“Pada penilaian sebahagian rakyat Malaysia seperti mereka, menyumbang kepada tabung berkenaan ‘is not stupid at all’, jauh sekali ‘being the most stupidest thing’,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kritikan mahasiswa Universiti Malaya, Ummi Umairah terhadap tindakan orang ramai menyumbang bagi membantu Najib membayar denda mahkamah.
Hasnal yang juga Ketua Umno Bahagaian Selayang berkata, pandangan itu mungkin tidak mengambil kira sentimen sebahagian rakyat yang masih mengenang jasa Najib serta kekuatan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri itu menerusi gelaran “Bossku”.
Menurutnya, terdapat juga penyokong yang mempersoalkan aspek tertentu proses perbicaraan dan rayuan Najib, sekali gus mempengaruhi kesediaan mereka untuk menyumbang.
“Mengambil kira faktor-faktor di atas, ada sebahagian rakyat Malaysia merasa terpanggil untuk menyumbang kepada Tabung Najib Razak ini kerana mereka sememangnya menyokong atau rasa ingin membalas jasa atau terkesan dengan ketidakadilan yang dihadapi mantan Perdana Menteri tersebut,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Hasnal membangkitkan perbandingan dengan Tabung Harapan Malaysia, dengan menyatakan bahawa sebahagian rakyat mempunyai penilaian bertentangan mengenai kewajaran menyumbang kepada kedua-dua tabung itu.
“Bagi sebahagian rakyat Malaysia, menyumbang kepada Tabung Harapan adalah ‘more stupider’ ketimbang apa yang Umairah labelkan sebagai ‘the most stupidest thing’,” katanya.
Bagaimanapun, Hasnal menegaskan bahawa ketidaksetujuannya terhadap pandangan Umairah tidak menjejaskan pendiriannya untuk mempertahankan hak mahasiswa berkenaan bersuara.
“Sebagai seorang pengamal undang-undang, pemimpin politik jalur demokrasi dan mantan Pesuruhjaya SUHAKAM, saya mungkin tidak bersetuju dengan pandangan Umairah, namun saya akan mempertahankan hak beliau untuk bersuara dan memberi pandangan,” katanya.
Beliau berkata, pandangan kontroversial lazimnya mengundang pelbagai reaksi, termasuk daripada pihak yang melihatnya sebagai suatu bentuk serangan.
“Lumrahnya, jika berani memberi ‘pandangan’ kontroversial, beranilah berhadapan reaksi yang bersifat emosional,” katanya.










